Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gerakan kumpul SD: Ahmad Fadhli yakin PN bertahan hingga PRU15

Ketika Perikatan Nasional terus dikritik bukan saja oleh pembangkang malah Umno yang menjadi sebahagian daripada kerajaan, pemimpin PAS yakin gabungan tersebut akan kekal bertahan.

Anggota Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari malah berkata dia percaya sebarang usaha menggugat atau menjatuhkan PN tidak akan berjaya mencapai matlamatnya.

"Kerajaan ini akan terus kekal mentadbir sehingga PRU ke-15," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Timbalan ketua Pemuda PAS itu berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung isu menandatangani akuan bersumpah (SD) yang didakwa membabitkan pimpinan Umno dan BN.

Terdahulu, isu tersebut didedahkan Anggota Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz yang mengaku bertanggungjawab mengumpul 25 SD dalam kalangan ahli parlimen BN bagi memberikan mandat kepada Hishammuddin Hussein ketika pemimpin-pemimpin parti dipanggil untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong dua minggu lalu. 

Ia sekali gus menampakkan krisis dalaman Umno membabitkan beberapa kumpulan yang bertentangan, termasuk membabitkan penyokong presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Fadhli dia berpendapat apa berlaku dalam Umno adalah isu dalaman dan wajar diselesaikan mengikut peraturan dan perlembagaan parti terbabit.

"Saya yakin Umno selaku parti yang sudah lama wujud dalam politik negara ini akan dapat menyelesaikan kemelut ini nanti," jelasnya.

Ditanya mengenai usaha mendapatkan sokongan untuk Hishammuddin, Ahmad Fahdli mendakwa setakat ini dia tidak pernah dihubungi secara peribadi bagi menandatangani mana-mana SD.

"Selaku ahli Parlimen PAS, saya tidak pernah dihubungi secara peribadi untuk menandatangani mana-mana SD.

"Saya yakin kawan-kawan saya ahli parlimen lain dari PAS pun begitu juga.

"PAS seperti biasa akan bertindak secara en-bloc dan keputusan akan dibuat setelah pimpinan tertinggi parti membuat pertimbangan dari semua aspek.

"Setakat hari ini, PAS kekal beristiqamah bersama kepimpinan perdana menteri (Muhyiddin Yassin)," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS