GLOBAL | Bekas presiden Filipina, Benigno Aquino yang merupakan anak kepada dua ikon demokrasi Asia Tenggara, meninggal dunia pada Khamis setelah dimasukkan ke hospital di Manila.
Pemimpin berusia 61 tahun itu merupakan presiden Filipina dari tahun 2010 hingga 2016.
"Dengan dukacitanya saya dimaklumkan pagi ini pemergian bekas Presiden Benigno Aquino," kata hakim Mahkamah Agung Marvic Leonen, yang dilantik oleh Aquino pada tahun 2012 dalam satu kenyataan.
"Adalah merupakan suatu penghormatan untuk berkhidmat dengannya. Dia akan dirindui," kata kenyataan itu, lapor Reuters.
Dikenali sebagai Noynoy, bekas presiden Filipina itu mendapat sokongan rakyat bagi memegang jawatan nombor satu negara itu setelah kematian ibunya, Corazon Aquino pada tahun 2009,
Corazon menjadi presiden dari tahun 1986 hingga 1992.
Bapanya, Benigno 'Ninoy' Aquino yang merupakan seorang senator dibunuh ketika pulang dari buangan politik pada tahun 1983 kerana menentang pemerintahan Ferdinand Marcos ketika itu.
Pembunuhan itu mengejutkan negara dan menyebabkan Marcos tersingkir daripada jawatannya dalam Revolusi Kuasa Rakyat pada 1986, lantas mendorong Corazon dilantik sebagai presiden.