Kewibawaan dan imej institut pengajian tinggi awam (IPTA) akan terjejas jika lantikan politik tanpa merit terus dibenarkan, menurut Jawatankuasa Pendidikan PH.
"Pengagihan jawatan di IPTA kepada wakil-wakil politik PN tanpa berdasarkan merit hanya akan menyebabkan imej dan wibawa IPTA semakin buruk samada di peringkat lokal mahupun antarabangsa.
"Situasi ini juga menjawab mengapa pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak bersikap progresif dan inovatif di dalam pembangunan solusi di peringkat pendidikan tinggi di kala menghadapi wabak Covid-19," kata jawatankuasa itu dalam kenyataan semalam.
Terdahulu, pemeriksaan Malaysiakini mendapati sekurang-kurangnya 13 individu yang berkaitan dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilantik untuk jawatan dalam IPTA.
Jawatankuasa itu turut mempersoalkan mengapa amalan melantik golongan profesional, akademik dan korporat dalam lembaga pengarah universiti (LPU), seperti yang dilakukan ketika pentadbiran PH, tidak diteruskan.
Katanya lagi, sejumlah lantikan di kalangan golongan itu ketika pentadbiran PH telah digantikan dengan individu yang berkaitan dengan kerajaan pada masa ini yang memiliki kelayakan yang lebih rendah.
"KPT patut merujuk Pelan Pembangunan Pendidikan 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) yang menggariskan keperluan melantik ahli LPU mengikut kebolehan dan ‘skill-sets’ yang telah ditetapkan supaya mereka boleh memacu IPTA lebih berdaya maju.
"Pelantikan berdasarkan keahlian politik semata-mata boleh menganggu kemajuan universiti seperti yang berlaku sepanjang pemerintahan PN," katanya lagi.
Justeru, jawatankuasa menggesa KPT menyemak semula pelantikan tersebut demi menjaga kredibiliti dan nama baik pendidikan negara.
Kenyataaan itu ditandatangani oleh bekas menteri pendidikan Maszlee Malik, Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR), Teo Nie Ching (DAP), Hasan Bahrom (Amanah), Natrah Ismail (PKR), Steven Sim (DAP) dan Rusnah Aluai (PKR).
Dalam satu kenyataan berasingan, 20 persatuan alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyuarakan sokongan terhadap pelantikan Ibrahim Shah Abu Shah dan Mohd Sazili Shahibi.
Ibrahim yang merupakan pengerusi Biro Pendidikan Umno dilantik sebagai pengerusi lembaga pengarah UiTM.
Mohd Sazili pula, yang merupakan naib pengerusi Umno Selayang, dilantik menjadi timbalan naib canselor (hal ehwal pelajar) universiti itu.
"Alumni UiTM sentiasa menyokong setiap pelantikan dari KPT terhadap individu yang berkelayakan dan mempunyai pengalaman, terutama dari kalangan orang ‘dalam’ kami (DNA UiTM).
"Isu tentang mereka itu ahli dari mana-mana parti politik tidak lagi relevan bagi kami buat masa kini. Kami amat berbangga dengan pemimpin-pemimpin politik dari Umno, PAS, PKR, Bersatu, Amanah, Warisan, GPS dan parti-parti lain yang terdiri daripada Alumni UiTM," kata mereka.
Menurut mereka, Ibrahim merupakan naib canselor UiTM paling lama, iaitu sejak 2001 hingga 2009, dan maka mempunyai pengalaman yang luas dan layak memimpin lembaga pengarah universiti.
Mohd Sazili pula antara lain penerima anugerah Asia Education Leadership Award oleh CMO Asia dan World Education Congress pada 2018.
"Alumni UiTM berkeyakinan bahawa kedua-duanya mempunyai kelayakan penuh dan akan dapat membawa UiTM ke tahap yang lebih cemerlang, selaras dengan aspirasi pendidikan tinggi di Malaysia," kata mereka lagi.