Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nazri dakwa 25 MP BN hilang keyakinan terhadap Zahid

Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Abdul Aziz mendakwa bahawa majoriti daripada 42 anggota parlimen BN telah hilang kepercayaan terhadap Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Nazri memberitahu Malaysiakini bahawa akuan bersumpah (SD) ditandatangani sebagai 'akuan mandat 25 ahli-ahli parlimen BN' kepada Menteri Luar Hishammuddin Hussein sekiranya ahli parlimen Sembrong itu dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong.

"Apabila saya dapat tahu Agong nak jumpa ketua-ketua parti, saya tidak lagi percaya kepada Zahid.

"Pada Oktober Zahid memberi maklumat yang mengelirukan kepada Agong bahawa ahli parlimen BN menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

"Saya percaya Hishammuddin untuk mengatakan yang sebenarnya bahawa kita tidak menyokong Anwar atau DAP," kata Nazri kepada Malaysiakini.

Dia enggan mendedahkan berapa ramai anggota kabinet yang menandatangani SD tersebut.

Dia juga berkata SD itu tidak bertujuan untuk menyokong Hishammuddin sebagai perdana menteri.

Pada Oktober tahun lalu, Zahid didakwa menandatangani surat kepada Agong yang berikrar akan menyokong Anwar.

Pejabat Zahid kemudian mendakwa surat itu palsu, tetapi bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa mengatakan sebaliknya.

Pun begitu, terdapat juga spekulasi Anwar telah menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong senarai 115 ahli parlimen yang didakwa menyokongnya menjadi perdana menteri semasa pertemuannya dengan Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 9 Jun lalu.

Sinar Harian memetik sumber Majlis Tertinggi Umno mendakwa beberapa nama dalam senarai Anwar dikatakan bertindih dengan senarai ahli parlimen yang menyokong Hishammuddin.

Ditanya mengapa dia memilih Hishammuddin untuk menjadi wakil mereka, Nazri berkata kerana mereka memerlukan seorang pemimpin yang mereka rasa akan mendapat perkenan Agong.

Isteri Hishammuddin Tengku Marsilla Tengku Abdullah ialah sepupu kepada Sultan Abdullah.

Menteri luar itu dikatakan berpendrian pro-Bersatu, manakala Nazri pula pengkritik keras parti itu.

Nazri juga ditanya bagaimana dua pihak bertentangan dapat bersatu menentang Zahid.

"Bagi saya, ini adalah soal parti. Perhimpunan agung Umno telah memutuskan, tolak Anwar, tolak DAP," jawabnya.

Nazri menambah pendiriannya terhadap Bersatu tidak berubah, tetapi menegaskan bahawa perhimpunan agung juga memutuskan bahawa hubungan dengan Bersatu hanya akan berakhir semasa pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

[Baca laporan asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS