Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kadar peratusan vaksinasi di Selangor masih paling rendah'
Diterbitkan:  Jun 22, 2021 8:51 PM
Dikemaskini: 12:53 PM

Pengerusi Selangor Task Force Covid-19, Dr Dzulkefly Ahmad sekali lagi menyuarakan kekecewaan berhubung pemberian vaksin di negeri itu.

Walaupun dengan jumlah kematian tinggi yang dilaporkan di Selangor, Dzulkefly berkata setakat 20 Jun, hanya 17.15 peratus penduduk yang mendaftar untuk vaksinasi Covid-19 telah menerimanya.

Dia berkata kadar itu adalah paling rendah bagi negeri dan wilayah persekutuan. Katanya lagi, kadar vaksinasi tertinggi adalah di Kuala Lumpur - yang hanya bersebelahan dengan Selangor - dengan 52.30 peratus.

Pada masa sama, katanya lagi, Selangor merupakan negeri dengan angka kematian akibat Covid-19 yang tertinggi.

Antara 10 hingga 20 Jun, kira-kira satu pertiga daripada kes kematian Covid-19 dilaporkan di Selangor, sementara 10.64 peratus dilaporkan di Kuala Lumpur.

"Selangor masih tercorot, meskipun Sultan Selangor telah merakamkan rasa kecewa (berhubung vaksinasi di negeri itu) dan menegur Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF)," katanya di Twitter.

Bekas menteri kesihatan itu juga mendakwa tidak banyak perubahan berkenaan perkara itu, sejak dia pertama kali membangkitkannya pada 28 Mei lalu.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) dikendalikan kerajaan persekutuan, menerusi CITF dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Menurut JKJAV, setakat 21 Jun sejumlah 669,149 orang, atau 10.2 peratus daripada penduduk Selangor, telah menerima dos pertama vaksin.

Seramai 216,386, iaitu 3.3 peratus daripada penduduk negeri, telah menerima kedua-dua dos, menurut JKJAV lagi.

Secara perbandingan, 42.7 peratus daripada penduduk Kuala Lumpur (757,428 orang) telah menerima dos pertama manakala 8.2 peratus penduduk (145,906 orang) telah menerima kedua-dua dos.

Pada 8 Jun lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyuarakan rasa terkejut apabila negeri itu - yang merupakan negeri paling ramai penduduk di Malaysia - hanya menerima 615,210 dos vaksin.

Sultan Sharafuddin juga bertitah agar jumlah pusat pemberian vaksin (PPV) di Selangor ditambah, khususnya di kawasan luar bandar, selain berpandangan pemberian vaksin secara pandu lalu atau klinik bergerak dapat meluaskan liputan vaksinasi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS