Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
4,743 kes baru Covid-19
Diterbitkan:  Jun 22, 2021 2:41 PM
Dikemaskini: 11:18 AM

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sebanyak 4,743 jangkitan baru Covid-19 direkodkan di seluruh negara hari ini berbanding 4,611 kes, semalam iaitu angka terendah dicatatkan sejak pertengahan Mei lalu.

Di Selangor jangkitan harian menunjukkan sedikit peningkatan menjadi 1,566 kes berbanding 1,346 kes semalam.

Ini diikuti oleh Kuala Lumpur sebanyak 635 kes, Negeri Sembilan (585) dan Sarawak (507).

Perlu dinyatakan bahawa bilangan sampel yang diambil untuk ujian Covid-19 menurun sejak permulaan Jun. Kadar positif dikira secara mingguan oleh KKM. Perincian berkenaan hal ini boleh dilihat di sini.

Pada masa sama, bilangan kes aktif menurun sejak 17 hari lalu.

Bilangan pesakit dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) juga menurun sejak mencapai angka tertinggi pada 16 Jun. Bagaimanapun tiada perubahan ketara bagi bilangan pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan, sejak minggu lalu.

Berikut maklumat utama wabak Covid-19 hari ini:

  • Pesakit sembuh: 5,557
  • Kes baru: 4,743
  • Jumlah kes aktif: 62,027
  • Pesakit di ICU: 875
  • Pesakit perlu bantuan pernafasan: 445
  • Kematian: 77 (jumlah keseluruhan 4,554)

Kematian

Kes kematian yang dilaporkan hari ini melibatkan 32 pesakit di Selangor, diikuti dengan di Negeri Sembilan (12), Johor (8), Sarawak (7), Kuala Lumpur (5), Melaka (4), masing-masing tiga pesakit di Sabah dan Labuan, serta masing-masing seorang pesakit di Pahang, Perlis, dan Terengganu.

Kes kematian termuda melibatkan pesakit wanita berusia 25 tahun yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat, Johor. Pesakit tidak mengidap sebarang penyakit lain.

Terdapat tiga lagi kes kematian melibatkan pesakit berusia bawah 40 tahun, melibatkan wanita berusia 37 tahun yang meninggal dunia di Hospital Melaka, wanita berusia 29 tahun (Hospital Kajang) dan lelaki berusia 36 tahun (Hospital Tampin). Ketiga-tiga kes ini memiliki komorbiditi.

Terdapat 11 kes kematian yang disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke hospital.

Untuk maklumat lanjut mengenai kes kematian, layari laman penjejak Covid-19 Malaysiakini.

Kadar kebolehjangkitan

Kebanyakan kawasan menyaksikan penurunan kadar kebolehjangkitan, iaitu R-naught.

Setakat semalam, R-naught bagi seluruh negara adalah 0.96, menurun daripada 0.97 pada hari sebelumnya. Kadar kurang daripada 1.00 menandakan penularan wabak yang berkurang.

Dua negeri dengan R-naught melebihi 1.00 adalah Negeri Sembilan (1.02) dan Perak (1.02).

Negeri dengan R-naught terendah adalah Terengganu (0.68), Pahang (0.77) dan Pulau Pinang (0.79).

Berikut pecahan setiap negeri (kumulatif):

Selangor - 1,566 (231,047)

Kuala Lumpur - 635 (72,113)

Negeri Sembilan - 585 (39,549)

Sarawak - 507 (60,989)

Johor - 239 (68,546)

Sabah - 193 (67,900)

Kelantan - 165 (33,870)

Pulau Pinang - 195 (33,326)

Melaka - 167 (16,372)

Kedah - 142 (23,604)

Pahang - 131 (12,211)

Labuan - 104 (7,218)

Perak - 68 (25,274)

Terengganu - 37 (10,990)

Putrajaya - 7 (2,179)

Perlis - 2 (574)

Kluster

Sebanyak 21 lagi kluster baru yang dikenal pasti hari ini, menjadikan jumlah kluster aktif pada masa ini sebanyak 850 kluster.

Sebanyak 13 kluster baru dalam kategori tempat kerja, diikuti dengan lima kluster komuniti dan masing-masing satu kluster pendidikan tinggi, pusat tahanan dan kumpulan berisiko tinggi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS