Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis siasat hantaran tular dakwa Khairuddin ditahan bulan lalu
Diterbitkan:  Jun 22, 2021 1:00 PM
Dikemaskini: 12:14 PM

Polis sedang menyiasat sebuah hantaran tular yang mendakwa bahawa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali telah ditahan di Perasing, Terengganu bulan lalu.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Abd Jalil Hassan berkata, hantaran di laman web Info Negara Kini sedang disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam satu kenyataan hari ini, dia berkata, polis telah merakamkan percakapan daripada 11 saksi, tetapi masih berusaha untuk mengenal pasti pihak yang memuat naik hantaran itu dan akan mengambil keterangan individu lain yang berkaitan sebelum menyerahkan kertas siasatan ke Pejabat Peguam Negara.

"Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan khabar angin yang tidak berasas tanpa mendapatkan maklumat yang sahih daripada sumber rasmi berhubung siasatan kes ini," kata Abd Jalil.

Polis bulan lalu mengesahkan bahawa mereka menahan Khairuddin di sekatan jalan raya di Perasing pada 16 Mei, dan sedang menyiasat menteri tersebut.

Berita itu menjadi tular di media sosial, dengan dakwaan bahawa pemimpin PAS itu ditahan bersama usahawan tudung yang juga bekas isteri seorang pelakon terkenal.

Ini menimbulkan spekulasi mengenai hubungan mereka di media sosial.

Menteri itu kemudian mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan dakwaan berkenaan.

Katanya, segala cerita yang disensasikan termasuk gosip berkaitan hubungan dengan selebriti wanita tersebut adalah tidak benar dan berniat buruk untuk merosakkan reputasinya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS