KATA MP l Kementerian Kesihatan Malaysia terus menggunapakai strategi yang lapuk terutamanya dalam hal ujian saringan Covid-19 yang rendah.
Pada 21 Jun pihak Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan hanya 58,384 ujian saringan Covid-19 telah dilakukan dengan 4,611 kes positif dikesan, dengan kadar kes positif pada 7.9 peratus. Ia adalah kadar kes positif harian yang tertinggi sejak bulan Januari tahun ini.
Ujian saringan telah menurun sebanyak 52 peratus sejak 29 Mei dan tidak mengejutkan juga bahawa kes harian juga menurun sebanyak 48 peratus dalam tempoh yang sama.
Untuk membandingkan, pada bulan April 2021 yang lalu Malaysia secara puratanya melaporkan sebanyak 2,107 kes harian baharu dengan melakukan 58,277 ujian saringan satu hari.
Dalam maksud lain, kita hari ini mempunyai dua kali ganda kes dengan kadar ujian yang sama yang kita lakukan pada bulan April.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 10 hingga 30 ujian mesti dilakukan untuk satu kes positif, atau lebih bilamana terdapat perebakan wabak bagi membendung kes-kes sporadik.
Malaysia kini terus menjadi antara negara yang mempunyai kadar kes Covid-19 yang tertinggi di dunia, dan kebanyakan kes yang dikesan tidak dikesan dengan mana-mana kluster.
Menurut syor dari WHO, Malaysia seharusnya melakukan sekurang-kurangnya 138,000, atau 300,000 ujian saringan setiap hari. Sekiranya 138,000 ujian saringan dilakukan hari ini, kita pasti akan mengesan lebih 9,000 kes-kes baharu.
Ramai pakar penyakit berjangkit mengesyorkan agar kadar ujian ditingkatkan, dan juga saintis-saintis data dan pakar-pakar ekonomi.
Badan-badan dan institut-institut pemikir dan penyelidikan yang dekat dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga mengesyorkan langkah yang sama. Namun, kadar pengujian kita terus menurun, dan ada beberapa kerat pemimpin politik tanpa rasa bersalah menyatakan kes sedang menurun kononnya kesan dari langkah PKP yang dijalankan pemerintah.
Pengarah Kesihatan pada 5 Februari yang lalu memberitahu bahawa KKM sedang merencana untuk meningkatkan keupayaan pengujian kepada 200,000 satu hari. Minggu ini, Pengarah Kesihatan telah mengarahkan makmal-makmal swasta untuk meningkatkan ujian saringan.
Setakat ini, ujian saringan yang paling tinggi dilakukan adalah sebanyak 126,964 pada 29 Mei yang lalu. Angka ini jauh dari sasaran 200,000 ujian saringan yang disasarkan KKM.
Malaysia telah berada dalam fasa darurat sejak bulan Januari yang lalu. Saya bingung memikirkan mengapa keupayaan ujian saringan tidak mencapai sasaran yang dibuat, dan mengapa kerajaan yang mempunyai kuasa di bawah Ordinan Darurat kini merayu pada sektor swasta bagi membantu dalam rencana ini. Ini bukti nyata kerajaan PN adalah kerajaan yang gagal.
Kempen vaksinasi juga lemah dan lembab, dengan dos total harian yang disuntik menurun sebanyak 40 peratus sejak hari Khamis yang lalu. Dengan kadar vaksinasi yang lembab selembab siput, saya fikir amat wajar kadar pengujian ditingkatkan bagi melindungi kesihatan warga.
ANWAR IBRAHIM ialah ketua pembangkang dan ahli parlimen Port Dickson.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.