Menimang cahaya mata pertama adalah saat paling bahagia untuk pasangan Adrian dan Shirley (bukan nama sebenar) yang mendirikan rumah tangga pada 2015.
Seperti kebanyakan wanita yang baru bergelar ibu, Shirley membuat keputusan untuk tinggal di pusat penjagaan ibu berpantang selama 30 hari bagi memulihkan semula kesihatannya selepas bersalin.
Sepanjang tempoh itu Shirley mendapatkan khidmat seorang pengasuh untuk menjaga bayinya.
Namun, apa yang diharapkan oleh Shirley dan suaminya di pusat penjagaan itu tidak menjadi kenyataan.
"Bayi lelaki saya akan berjaga berjam-jam selepas tengah malam dan mahukan susu walaupun saya sudah memberikan susu badan. Selepas bagi susu, dalam masa dua jam bayi saya akan menangis lagi nakkan susu.
"Ini anak pertama kami dan kami memang mahu memberikannya susu ibu. Saya cuba mendapatkan bantuan pengasuh untuk menjaga bayi saya.
"Pengasuh ini macam tak setuju saya beri susu badan dan menggesa saya memberi bayi saya susu formula (FM). Saya mestilah tak setuju tapi dia terus buat FM dan paksa bayi saya menghisap puting susu botol.
"Saya nampak bayi saya macam tak nak hisap puting tu, dan saya minta pengasuh tu jangan paksa. Dia asyik kata anak saya lapar dan susu badan saya tak cukup untuk membuatkan anak saya kenyang.
"Apabila saya tinggikan sedikit suara saya, barulah dia berhenti memaksa bayi saya menghisap puting susu botol," kata Shirley kepada Bernama semasa berkongsi pengalamannya baru-baru ini.
Juga perlu memasak
Setakat yang dia tahu, katanya, tidak ada saluran sesuai untuk pengguna membuat aduan terhadap amalan yang tidak wajar di pusat penjagaan.
"Ini penting untuk memastikan pusat penjagaan dan pelanggan dilindungi dari segi hak, kesihatan dan keselamatan," katanya.
Pengalaman yang tidak menyenangkan dengan pengasuh bayi turut dikongsi Melanie (bukan nama sebenar) selepas melahirkan anak ketiganya pada 2017.
Melanie mengambil seorang perempuan berusia pertengahan 50-an pada awal 2018 untuk menjaga dia dan bayinya dengan bayaran RM4,000 serta RM200 'ang pow' menurut tradisi orang Cina.
Melanie mengupah seorang pui yuet (bahasa Cina merujuk kepada perempuan yang menjaga ibu dalam pantang) untuk tinggal di rumahnya selama 30 hari.
Selain menjaga bayi, pui yuet terbabit juga perlu memasak.
"Teruk sungguh perempuan tu. Bayi saya jadi sakit dengan hidung tersumbat, selesema dan demam. Saya syak bayi saya dapat penyakit ni daripada perempuan tu.
"Saya nampak dia batuk kuat tak berhenti-henti dan bersin semasa memegang bayi saya. Dia kata dia tak sakit.
"Saya juga perhatikan dia pengotor. Dia tak cuci botol susu anak saya dengan air panas, tak cuci tangan selepas ke tandas dan terus pegang bayi saya dan beri susu botol.
"Sejak tu, saya tak percaya pui yuet. Saya memilih tingga di pusat penjagaan apabila melahirkan anak saya yang keempat," kata ibu kepada empat orang anak itu.
Perunding pakar sakit puan (O&G) KPJ Tawakkal KL, Dr Patricia Lim Su-Lyn, berkata berpantang adalah amalan tradisi selepas bersalin bagi membolehkan ibu berehat dan pulih semula daripada segi fizikal dan mental selepas melahirkan.
Tempoh berpantang ini mungkin memakan masa antara 30 hingga 44 hari.
Menurut Lim wanita yang mengandung mengambil masa kira-kira sembilan bulan untuk mengalami perubahan dalam tubuhnya untuk mengandungkan bayinya.
Ibu rasa diberi perhatian
Tubuh juga memerlukan masa untuk pulih dan penjagaan selepas bersalin adalah penting.
"Inilah juga masa untuk ibu bersama bayinya, untuk memberi susu badan, juga untuk penyembuhan luka dan untuk rahim mengecut semula kepada saiz normal.
"Juga untuk semua sistem tubuh untuk pulih yang mengambil masa kira-kira enam minggu.
"Bayi juga memerlukan penjagaan, seperti dibersihkan dan diberi susu badan," katanya kepada Bernama dalam wawancara menerusi e-mel baru-baru ini.
Lim berkata, selepas melahirkan, menjadi amalan biasa untuk si ibu menjalani amalan berpantang di pusat penjagaan atau mengambil khidmat orang yang boleh menjaga dia dan bayinya di rumah semasa tempoh berkenaan.
Tempoh berpantang itu pula perlu dilakukan di tempat yang wanita itu selesa, sama ada di rumah atau di rumah ibunya sendiri. Wanita itu juga perlu ruang peribadi untuk menyusu badan bayinya di samping berehat.
"Perlu dipertimbangkan bantuan untuk wanita yang baru bersalin. Ada orang menyediakan makanan serta mencuci kain lampin, pakaian dan melakukan kerja rumah yang lain, meskipun tidak salah untuk dia melakukan semuanya ini, sekiranya tidak ada siapa yang boleh membantu.
"Paling penting untuk wanita itu ialah berasa diberi perhatian dan dibantu kerana ketika ini kesan hormon selepas bersalin boleh memberi kesan dan dengan bayi yang baru dilahirkan, wanita ini boleh berasa tertekan, terutamanya apabila kurang tidur dan bayi sentiasa menangis," katanya.
Lim berkata nutrisi yang baik boleh membantu penyembuhan luka serta meningkatkan kekuatan serta bekalan susu badan.
"Amalan lain seperti berurut serta memakai bengkung hanya untuk merelakskan otot yang sakit semasa hamil dan bersalin. Ia juga dapat memberi sokongan kepada otot yang mungkin menjadi lemah semasa mengandung.
"Mandi dengan air suam serta herba membantu melegakan tubuh serta otot dan apabila wanita ini dapat berehat serta relaks, ini membantu penghasilan susu badan," katanya.
Sementara itu, bekas presiden Persatuan O&G Society Malaysia, Dr H Krishna Kumar, berkata sekarang wanita yang bersalin mempunyai pilihan untuk menjalani pantang di pusat penjagaan ibu berpantang swasta berbanding di rumah sendiri dengan dibantu pertugas.
Bagaimanapun Krishna Kumar berkata, terdapat kebimbangan berhubung kesahan pusat penjagaan untuk ibu bersalin terbabit serta kurangnya peraturan yang mengelolakannya.
"Tambahan pusat penjagaan adalah pilihan yang lebih mahal berbanding mengambil khidmat seorang wanita untuk menjaga si ibu. Lagi pun, bukan semua pusat penjagaan untuk ibu berpantang ini mempunyai dasar yang sama, jadi lebih elok jika diperiksa terlebih dulu apa yang ditawarkan oleh setiap pusat penjagaan.
"Ambil maklum, pusat penjagaan yang beroperasi di rumah mungkin bukan pilihan terbaik kerana mungkin tidak memenuhi keperluan tertentu untuk beroperasi sebagai fasiliti penjagaan kesihatan," katanya.
Perlu gubal undang-undang baru
Menurut perunding O&G itu lagi, setakat ini kebanyakan pusat penjagaan hanya diiktiraf sebagai perniagaan dan didaftarkan di bawah lesen perniagaan kendalian pihak berkuasa tempatan, sama seperti hotel dan spa, bukan fasiliti perubatan.
"Jika timbul sebarang masalah sewaktu ibu dan bayi tinggal di pusat penjagaan itu, biasanya ia akan diselesaikan antara pusat penjagaan dan keluarga yang terlibat," katanya.
Krishna Kumar menjelaskan buat masa ini tidak ada saluran untuk si ibu atau keluarga membangkitkan sebarang isu atau pertikaian.
"Ketiadaan pakar perubatan, contoh pakar sakit puan atau pakar pediatrik di kebanyakan pusat penjagaan ini untuk mendiagnos gejala komplikasi yang dialami ibu atau bayi adalah membimbangkan.
"Penggubal undang-undang perlu berusaha menggubal undang-undang baru atau meminda yang sedia ada bagi mengatur pusat penjagaan, melindungi ibu dan bayi daripada insiden yang tidak diingini.
Menurut Krishna Kumar, pusat penjagaan untuk ibu berpantang tidak termaktub dalam Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
Itu sebabnya mereka tidak terikat dengan keperluan piawaian minimum.
Krishna Kumar menasihatkan mana-mana wanita yang baru bersalin dan mahu mendapatkan khidmat pusat penjagaan supaya membuat penyelidikan menyeluruh.
"Pastikan kakitangannya mempunyai persijilan dan berpengalaman. Baca betul-betul kontrak sebelum memilih pusat penjagaan untuk tempoh berpantang," katanya.
- Bernama
Rencana ini adalah bahagian satu daripada dua, mengenai keperluan menjadikan pusat penjagaan ibu selepas bersalin agar menjadi lebih selamat.