Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Beri pampasan pada waris korban Covid-19 yang tak sempat divaksin'
Diterbitkan:  Jun 21, 2021 1:56 PM
Dikemaskini: 6:35 AM

PKR Perak menggesa kerajaan membayar pampasan kepada keluarga atau waris pesakit Covid-19 yang meninggal dunia sebelum mereka sempat menerima suntikan vaksin.

Ketua penerangannya Muhamad Arafat berkata peningkatan angka kematian akibat Covid-19 akhir-akhir ini membuktikan kerajaan gagal menguruskan pandemik berkenaan termasuk dalam program vaksinasi.

"Angka (kematian) ini menunjukkan kerajaan membunuh rakyat dengan ketidakcekapan menguruskan vaksin.

"Saya menggesa kerajaan memberikan ganti rugi kepada rakyat ataupun keluarga mangsa yang meninggal dalam keadaan tidak dapat diberikan vaksin walaupun mereka sudah daftar lama dan menunggu lama," katanya kepada Malaysiakini.

Malaysia kini dalam proses memberikan vaksin kepada penduduk negara melalui pelbagai inisiatif, namun banyak pihak menganggap ia berlangsung tidak seperti diharapkan.

Semakan di aplikasi MySejahtera setakat awal petang ini menunjukkan seramai 15.4 juta orang sudah mendaftar untuk mendapatkan suntikan. Pada masa sama hanya kira-kira 4.2 juta yang sudah menerima vaksin masing-masing.

Orang ramai juga banyak mengeluh apabila keadaan masih belum dapat dikawal dengan kerajaan terus melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) termasuk kini menambah sekatan pergerakan penuh.

Semalam negara merekodkan 60 jumlah kematian baru akibat Covid-19 seramai 60 orang menjadikan jumlah korban akibat wabak itu meningkat kepada 4,408 kes.

Sehingga tengah hari semalam juga terdapat 63,815 kes aktif termasuk 880 ditempatkan dalam unit rawatan rapi dengan lebih separuh daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Selain itu maklumat mengenai janji temu untuk suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera juga menyebabkan banyak kekeliruan kepada orang awam.

Muhamad Arafat berkata dalam keadaan sekarang kerajaan Perikatan Nasional boleh dianggap seperti 'membunuh rakyat sendiri' kerana gagal menguruskan program vaksinasi dengan berkesan.

Berdasarkan pengalamnya, kata Muhamad Arafat, ada warga emas yang terpaksa menunggu selama empat bulan bagi mendapatkan suntikan vaksin.

"Dalam keadaan sekarang PKR Perak berpendapat rakyat berhak menuntut pampasan kerana kematian berlaku disebabkan kelemahan kerajaan menyalurkan vaksin khususnya untuk warga emas," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS