Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dyson nafi eksploitasi pekerja migran di kilang elektronik
Diterbitkan:  Jun 21, 2021 11:49 AM
Dikemaskini: 3:49 AM

Syarikat teknologi British, Dyson, menolak dan tidak mengiktiraf dakwaan mereka melakukan eksploitasi buruh seperti disiarkan sebuah akhbar harian berpangkalan di UK membabitkan salah satu pengeluar pembekalannya di Malaysia.

Penafian itu dibuat selepas Sunday Mirror mendakwa sebuah kilang elektronik di Johor, ATA Industrial (M) Sdn Bhd (ATA), mengeksploitasi pekerja migrannya.

"Berdasarkan audit biasa kami serta pemfailan peraturan oleh ATA, kami yakin tuduhan dan gambar ini tiada kaitan dengan rantaian bekalan Dyson dan produk Dyson tidak dihasilkan oleh pekerja yang hidup dalam keadaan yang didakwa ini.

"Kami meminta pembekal untuk bertanggungjawab dan jika terdapat pelanggaran dasar, kami akan segera mengambil tindakan pembetulan.

"Kami mengendalikan rantaian bekalan global yang beretika dan bertanggungjawab.

"Pendekatan kami berdasarkan kepada penambahbaikan yang berterusan, dan kami mengambil tindakan apabila melihat ada bukti berlaku kesalahan," kata seorang jurucakap Dyson.

Syarikat itu berkata mereka komited terhadap dasar dan piawaian yang konsisten dengan peraturan antarabangsa yang dikaji secara berkala dan menyeluruh terhadap semua pembekalnya.

"Semua pembekal mematuhi piawaian yang mengikat kontrak ini yang dipantau secara berkala melalui audit kami sendiri dan juga yang dilakukan oleh syarikat audit bebas yang diiktiraf di peringkat antarabangsa," tambah jurucakap itu.

ATA ialah pengeluar kontrak pihak ketiga untuk Dyson dan dipercayai pengeluar kontrak peralatan elektrik terbesar di Malaysia.

Penuhi piawaian buruh antarabangsa

Ia membuat produk seperti tong pembersih hampa gas dan penutup bateri untuk Dyson. Operasinya diaudit secara berkala oleh pasukan dalaman Dyson yang berdedikasi dan juruaudit pihak ketiga yang bebas dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Dyson Ltd diasaskan di UK oleh James Dyson pada 1991. Ia mereka bentuk dan mengeluarkan peralatan rumah tangga seperti pembersih hampa gas, pembersih udara, pengering tangan, kipas tanpa bilah blaster, pemanas, pengering rambut, dan lampu.

Perincian dasar dan kepatuhannya kepada undang-undang dan peraturan yang berkaitan boleh dilihat di laman web mereka dalam Pernyataan Perhambaan Moden 2020.

Dyson berkata artikel Sunday Mirror - sebahagiannya diterbitkan semula oleh Malaysiakini - sedang dipertikaikan oleh Dyson dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

"Dyson akan mengambil semua langkah perlu untuk mempertahankan diri daripada liputan yang merosakkan dan mengelirukan, dan kami melampirkan surat dari Shillings yang mewakili kami dalam hal ini," katanya.

Sunday Mirror mendakwa ATA mengeksploitasi pekerja dengan mengarahkan mereka bekerja lebih masa, selain hidup dalam keadaan tidak berkualiti, dengan seorang pekerja mendakwa perlu bekerja 186 jam lebih lama dari biasa sebulan hanya untuk memenuhi sasaran ditetapkan.

Pengurus kanan ATA Jivanadham Kavita Kaushaliya menafikan firma itu mengeksploitasi pekerjanya.

Dia berkata bahawa mereka mematuhi undang-undang dan peraturan buruh tempatan yang berkaitan pengambilan pekerja, gaji minimum, waktu kerja lebih masa dan dasar tiada buruh kanak-kanak.

"Kumpulan ini menyediakan asrama untuk semua pekerja asing yang memenuhi piawaian buruh antarabangsa dan diaudit secara berkala oleh pelanggan multinasional utama dan peruncit global kami," tambah Jivanadham.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS