Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan melibatkan wakil pembangkang dalam jawatankuasa yang telah dibentuk untuk meneliti aspek-aspek penting sebelum persidangan parlimen diadakan.
Ini berikutan aduan pembangkang bahawa mereka dikecualikan daripada jawatankuasa tersebut dan kebimbangan bahawa parlimen hibrid melumpuhkan peranan ahli parlimen dan sekadar menjadi 'rubber stamp'.
"Saya minta jawatankuasa yang dianggotai wakil-wakil kerajaan dan pembangkang untuk nilai perkara berkenaan, dan selepas itu barulah mereka maklumkan kepada saya sama ada sudah bersedia atau tidak untuk memulakan sidang parlimen," katanya seperti dipetik Bernama hari ini.
Muhyiddin juga memberikan komitmen bahawa keputusan pembukaan persidangan parlimen akan diputuskan oleh kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang di dalam jawatankuasa berkenaan.
Katanya, sama ada persidangan parlimen akan dibuat secara hibrid atau fizikal, ia akan dirujuk kepada peraturan tetap yang ada sekarang.
“Saya harus teliti. Saya faham sangat-sangat dan saya dinasihatkan bukan sahaja oleh Menteri Undang-Undang, tetapi oleh Peguam Negara supaya tindakan saya dan kerajaan selari dengan apa yang ada dalam perlembagaan,” katanya.
Selain itu, Muhyiddin berkata wujud keperluan untuk mengambil kira soal persiapan parlimen bagi urusan persidangan secara fizikal itu sendiri, termasuklah aturan tempat duduk ahli parlimen yang perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Muhyiddin berkata bukan niatnya untuk melengahkan pembukaan persidangan parlimen, namun ini antara isu yang harus diperhalusi terlebih dahulu.
"Saya faham tanggungjawab sebagai perdana menteri besar tetapi saya kena berlaku adil supaya nanti tidak timbul isu-isu dan masalah kemudian.
"Ini satu perkara yang harapnya rakyat faham dan tunggu," katanya.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum ini menitahkan agar parlimen segera bersidang.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan berkata baginda tidak menetapkan tarikh yang tepat mengenai bilakah parlimen akan dibuka semula.