Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jangan tertipu kali kedua, terima unta tua masuk khemah PH'

Pakatan Harapan digesa supaya tidak mengulangi kesilapan sebelum ini dengan menerima “unta tua” ke dalam “khemah PH” sehingga akhirnya PH kehilangan kuasa di Putrajaya.

Perwakilan dari Perak Muhammad Arafat Varisai Mahamad mengingatkan perkara itu dalam perbahasan menyokong ucapan dasar presiden di Kongres Nasional Tahunan PKR yang dilakukan secara maya.

“Kita ambil pengalaman ketika PRU14 lepas di mana datangnya unta tua ke dalam khemah PH, minta kebenaran masuk dengan muka kesian.

“PH berikan kebenaran untuk unta tua itu dan akhirnya unta tua itu masuklah khemah PH, PH terkeluarlah daripada khemah yang bernama Putrajaya.

“Maka kita ambil pengalaman ini kerana sudah ditipu, telah tertipu oleh unta tua itu.

"Maka kita jangan tertipu kali kedua saudara sekalian,” katanya.

Arafat ketika berucap menceritakan kisah seekor unta yang pada awalnya tidur di luar khemah tuannya di padang pasir tetapi ia kemudian memasukkan kepalanya ke dalam khemah dengan raut wajah kasihan untuk mendapat kebenaran masuk ke dalam khemah tuannya.

Selepas diberi izin atas rasa simpati, beberapa jam kemudian unta itu, kata Arafat memasukkan sebahagian badannya ke dalam khemah yang sempit tersebut.

Katanya, lama-kelamaan unta tua itu memasukkan seluruh badannya sehingga tuannya terkeluar daripada khemah tersebut. 

Menjelaskan kepada Malaysiakini kemudian, ketua penerangan PKR Perak itu berkata unta tua yang disebut dalam ucapannya itu merujuk kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Pada 2016, Mahathir, Muhyiddin Yassin, Mohd Shafie Apdal dan beberapa pimpinan Umno lain mendesak Najib Razak meletak jawatan perdana menteri kerana dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Mereka kemudian disingkirkan daripada Umno dan membentuk Bersatu serta Warisan yang kemudian bersama-sama PKR, DAP dan Amanah dalam Pakatan Harapan (PH)  berjaya memenangi PRU14 pada 9 Mei 2018.

Pun begitu, tidak sampai dua tahun kerajaan PH runtuh selepas beberapa pimpinan utamanya berpaling tadah melalui Langkah Sheraton pada hujung Februari tahun lalu.

Bersama-sama PAS dan Umno yang dilawan ketika PRU14 lalu, Bersatu yang diterajui Muhyiddin serta bekas pemimpin PKR yang diketuai oleh Mohamed Azmin Ali menubuhkan kerajaan baru yang dinamakan Perikatan Nasional (PN).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS