Kementerian Pendidikan dalam peringkat akhir untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas bagi meneliti prosedur sedia ada dalam menangani aduan mengenai amalan pemeriksaaan haid di sekolah dan hal-hal yang berkaitan.
Menteri Pendidikan, Radzi Jidin berkata, cadangan jawatankuasa itu akan digunakan untuk memperbaiki mekanisme aduan sedia ada.
"Perkara ini sedang diteliti oleh pihak kementerian," katanya ketika menjawab pertanyaan Malaysiakini mengenai perkembangan siasatan kementerian itu berhubung insiden pemeriksaan haid di sekolah, termasuk yang berlaku sejak 20 tahun yang lalu.
"Kita dalam proses akhir penubuhan sebuah jawatankuasa untuk meneliti, bukan sahaja perkara ini tetapi juga perkara berkaitan seperti mana yang disebut tadi.
"Akan ada satu tatacara proses yang lebih menyeluruh dalam konteks ini bagi membolehkan sekiranya timbul isu-isu sebegini di masa akan datang kita akan laksanakan dengan lebih tersusun dan teratur, " kata Radzi pada sidang media yang diadakan secara maya hari ini.
Seorang pegawai Radzi kemudian menjelaskan semua aduan yang diterima setakat ini disiasat berdasarkan mekanisme sedia ada.
"Jawatankuasa ini adalah untuk penambahbaikan seperti yang disebut," katanya.
Malaysiakini pada akhir April lalu menyerahkan nama 15 sekolah di mana pelajar perempuan didakwa menjalani pemeriksaan haid untuk membuktikan mereka tidak boleh melakukan solat.
Pemeriksaan tersebut - yang dilakukan guru, warden asrama atau pengawas - didakwa mungkin berlarutan sejak 20 tahun lalu.
Pembuktian dikatakan perlu dibuat dengan meminta pelajar menunjukkan kesan darah pada tuala wanita atau melakukan calitan pada kemaluan mereka menggunakan kapas, tisu atau jari.
Malah pelajar juga mendakwa mereka diraba di bahagian alat sulit untuk mengetahui sama ada mereka memakai tuala wanita atau sebaliknya.
Ketika diminta untuk mengesahkan perkembangan siasatan, pegawai tersebut berkata, "Sebarang aduan yang diterima disiasat berdasarkan mekanisme sedia ada."
"Sebaik kami menerima emel tersebut, ia sudah dimajukan mengikut proses pengurusan aduan untuk siasatan dijalankan," katanya.
Salinan senarai itu juga dikirimkan kepada timbalan menteri pendidikan, Muslimin Yahaya dan Dr Mah Hang Soon, serta ketua setiausaha kementerian dan Jabatan Komunikasi Korporat
Senarai tersebut dihantar bersama-sama dengan maklumat lain, seperti tarikh kesalahan yang didakwa (kebanyakannya dari tahun 2011 hingga 2018) dan warden atau guru yang dinamakan oleh pelajar.
Nama pelajar yang dikatakan menjadi mangsa tidak diserahkan.
Daripada 15 nama sekolah yang diserahkan kepada kementerian itu, enam dari Selangor, tiga dari Johor, dua dari Terengganu, dua dari Kuala Lumpur dan masing-masing satu dari Kedah dan Pahang.
Sebelum ini Radzi bahawa siasatan kementerian pendidikan tidak mendapati amalan tersebut berlaku di sekolah.
Pada masa itu, bekas menteri Rafidah Aziz, Azalina Othman dan Maszlee Malik adalah antara mereka yang menyuarakan bantahan terhadap amalan tersebut.
Rafidah menuntut Kementerian Pendidikan menghentikan amalam seumpama itu dan menetapkan peraturan asas yang jelas mengenai bagaimana sekolah, termasuk sekolah berasrama penuh melayani para pelajar.