Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jawatankuasa parlimen hibrid: DAP masih tunggu jawapan balas Azhar
Diterbitkan:  Jun 19, 2021 4:54 PM
Dikemaskini: 8:54 AM

DAP masih menunggu jawapan daripada Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun berhubung tindakannya mengetepikan pembangkang daripada jawatankuasa khas merancang persidangan parlimen secara hibrid.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata sudah mengingatkan bahawa pembentukan parlimen hibrid tidak boleh digunakan untuk membentuk satu institusi hanya sebagai rubber stamp.

"Tindakan mengetepikan wakil pembangkang dari Jawatankuasa Khas Parlimen Hibrid mengenai bentuk, prosedur dan formatnya adalah satu duluan berbahaya yang bukan sahaja melanggar konvensyen parlimen tetapi juga penyalahgunaan kuasa yang mengikis prinsip asas parlimen sebagai sumber punca demokrasi.

"Saya telah menulis surat kepada Azhar pada 9 Jun bahawa ahli parlimen pembangkang memainkan peranan penting untuk memastikan parlimen yang berfungsi sebagai semak dan imbang terhadap kerajaan melalui pemeriksaan perundangan dan pengawasan kerajaan.

"Pakatan Harapan (PH) masih menunggu jawapan dari Azhar," katanya dalam satu kenyataan.

Lim berkata PH mencalonkan bekas timbalan speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming sebagai wakil mereka ke jawatankuasa khas itu.

Komposisi yang ada dalam jawatankuasa itu merangkumi speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat, presiden dan timbalan presiden Dewan Negara, ketua pentadbir parlimen dan seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Tidak ada wakil pembangkang dalam jawatankuasa tersebut.

Darurat yang berlangsung kini telah mengakibatkan Parlimen tergantung sejak 11 Januari dan dijadual mungkin berakhir pada 1 Ogos.

Yang Di-Pertuan Agong telah meminta agar Parlimen bersidang secepat mungkin tetapi kerajaan sebelum ini menjangkakan Parlimen akan bersidang semula pada Sept atau Okt.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS