Menteri Sumber Manusia M Saravanan memberi jaminan bahawa semua pekerja warga asing akan diwajibkan kursus induksi sebelum bekerja di Malaysia.
Jelasnya, kursus itu bagi memastikan pekerja warga asing diberikan pendedahan dan juga pengetahuan asas mengenai aspek perburuhan dan hak-hak pekerja selain maklumat berkaitan negara, adat resam serta budaya selain bahasa tempatan.
"Saya memberi jaminan bahawa pada masa depan, semua pekerja asing akan diwajibkan untuk menghadiri kursus induksi selama 48 jam sebelum bermula kerja di Malaysia.
"Ini untuk memastikan pekerja asing mengetahui hak mereka di negara ini," katanya dalam satu program bual bicara siaran langsung di Facebook, hari ini.
Dia berkata demikian susulan dakwaan seorang warga India didera ketika bekerja di sebuah restoran di Malaysia.
Program bual bicara dalam talian itu turut disertai selebriti televisyen terkenal India, Lakshmy Ramakrishnan dan seorang warga India yang dikatakan pernah bekerja di Malaysia, dikenali sebagai Velayutham.
Untuk rekod, pihak penguat kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) semalam menyerbu sebuah restoran di Petaling Jaya selepas Velayutham mendakwa bahawa dia didera ketika bekerja di restoran berkenaan.
Velayutham yang kini berada di India, baru-baru ini dalam satu program bual bicara negara itu berkata bahawa dia bersama seorang lagi warga India didera oleh salah seorang pemilik restoran.
Dia juga mendakwa rakannya diliwat ketika bekerja di restoran tersebut.
Sementara itu, Saravanan berkata kursus induksi itu akan diberikan kepada pekerja warga asing sebaik ketibaan di negara ini.
Saravanan turut berjanji akan mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Tamil Nadu untuk memastikan warga India khususnya dari Tamil Nadu tidak dikrisminasi oleh majikan mereka di Malaysia.
"Kerajaan Malaysia mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Tamil Nadu.
"Saya memberi jaminan bahawa kami akan mengadakan perbincangan berhubung isu pekerja asing selepas penamatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.