Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
UiTM lapor polis dakwaan gangguan seksual oleh pengajar
Diterbitkan:  Jun 18, 2021 4:20 PM
Dikemaskini: Jun 19, 2021 2:22 AM

Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah membuat laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bagi memudahkan proses penyiasatan berhubung dakwaan gangguan seksual dilakukan oleh seorang tenaga pengajar terhadap beberapa pelajar yang tersebar dalam media sosial baru-baru ini.


Baca: Pensyarah UiTM didakwa buat gangguan seksual


Ketua Perhubungan Awam, Media dan Protokol Jabatan Komunikasi Korporat UiTM Nora Noordin berkata universiti itu juga telah mengarahkan jawatankuasa siasatan dalaman untuk meneliti dan menjalankan siasatan terperinci terhadap segala dakwaan yang bersangkutan.

“UiTM memandang serius dakwaan itu dan juga komited untuk menangani segala dakwaan yang dibangkitkan.

“Universiti sama sekali tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana staf yang mengambil kesempatan atau menyalahgunakan kuasa mereka sebagai staf kerana UiTM amat mengutamakan keselamatan, kebajikan dan kualiti seluruh warganya, khususnya dalam mengamalkan budaya integriti dan profesional yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata orang ramai, terutama ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kebajikan, keselamatan dan hal ehwal para pelajar adalah keutamaan universiti dan tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang terlibat mengikut peraturan dan ketetapan universiti sedia ada.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS