Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Harga ujian Covid-19 tak termasuk kos lain di hospital swasta
Diterbitkan:  Jun 18, 2021 10:15 AM
Dikemaskini: 2:15 AM

Kos untuk menjalani ujian Covid-19 di hospital swasta akan lebih tinggi daripada harga siling yang diwartakan di bawah Ordinan Darurat 2021, kata Persatuan Hospital Swasta Malaysia.

Presidennya, Dr Kuljit Singh berkata, ini kerana kos yang diwartakan tidak termasuk bayaran untuk mendapatkan sampel, kos peralatan pelindung diri dan kos perundingan dengan pegawai perubatan.

"Hospital swasta akan tunjukkan caj ujian Covid-19 yang merangkumi caj makmal dan kos lain untuk orang ramai pilih dan putuskan, dan ia berbeza di setiap hospital berdasarkan perkhidmatan dan lokasi geografi.

"Namun, ia akan ditetapkan serendah yang mungkin untuk menampung jumlah kos," kata Kuljit dalam satu kenyataan.

Katanya, kerajaan telah menetapkan Ordinan Darurat 2021 dengan harga berikut: ujian saringan tindak balas berantai polimerase (RT-PCR) pada harga RM150, ujian RTK-Antigen pada harga RM60 dan ujian RTK-Antibodi pada harga RM50 di Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, harga siling untuk ujian RT-PCR di Sabah dan Sarawak ditetapkan sebanyak RM200, ujian RTK-Antigen (RM80) dan ujian RTK-Antibodi (RM70).

"Kami berharap ini boleh membantu masyarakat untuk faham bahawa harga pewartaan yang diumumkan oleh kerajaan adalah semata-mata pada kos ujian makmal yang tidak akan termasuk kos tambahan untuk perkhidmatan, penghantaran sampel, keputusan penelusuran (tracing) dan kos peralatan perlindungan kakitangan hospital, "kata Kuljit.

Dia menambah, sebahagian besar daripada 152 anggota persatuan itu sejak awal wabak tahun lalu telah melakukan pelbagai kaedah ujian Covid-19.

Menteri Kesihatan,  Dr Adham Baba pada Selasa lalu berkata, harga ujian Covid-19 dihadkan untuk memastikan ia tetap berpatutan dan menjadi "panduan" untuk orang ramai ketika membayar ujian tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS