ULASAN | Perdana Menteri telah mengumumkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebagai ‘exit plan’ untuk keluar daripada pandemik Covid-19. Bagi kerajaan, PPN adalah rujukan untuk menyusun semula strategi peralihan keluar secara berfasa kerajaan daripada krisis Covid-19.
PPN menekankan tiga indikator utama iaitu penularan Covid-19 berdasarkan kes harian, kemampuan perkhidmatan kesihatan awam, dan peratusan rakyat menerima dua dos suntikan vaksin.
Meskipun kerajaan yakin PPN dapat mengembalikan kehidupan rakyat, ramai orang awam dan pakar kesihatan merasakan PPN adalah perancangan ‘separuh masak’ dan tidak membawa apa-apa perubahan besar untuk memulihkan negara pasca pandemik.
Ada yang beranggapan PPN kurang sentuhan ‘jiwa’ untuk menyatukan seluruh rakyat Malaysia melawan Covid-19 yang masih tidak menentu.
Faktanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah terlewat hampir setahun untuk membuat perancangan pemulihan lebih awal jika dibandingkan negara-negara lain. PPN dibentangkan ketika kerajaan PN hampir ditewaskan oleh pandemik itu sendiri.
Maka, ada keperluan untuk meneliti semula PPN yang telah diumumkan kerajaan tempoh hari dan mencari jalan penyelesaian yang komprehensif untuk memastikan usaha memulihkan situasi ekonomi dan kesihatan negara benar-benar memberi impak positif kepada rakyat.
Mengapa bukan RMK-12?
Saya berpendapat PPN ini harus ditambah baik dengan menjadikan ia sebahagian daripada Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang sudah hampir setahun setengah tidak dibentangkan oleh kerajaan PN. Mengapa RMK12 perlu menjadi exit plan sebenar berbanding PPN?
Pertama, jangka masa RMK12 adalah lebih realistik untuk merangka fasa pemulihan daripada pandemik, iaitu selama lima tahun (2021-2025) berbanding PPN yang hanya menggariskan tempoh jangka masa pendek, yakni empat fasa dalam tempoh setahun (2021).
Tempoh pelaksanaan RMK12 amat sesuai kerana krisis pandemik yang memberi impak besar dan memerlukan tempoh yang lebih panjang bagi memulihkan ekonomi dan tahap kesihatan rakyat.
Kedua, strategi RMK12 adalah lebih menyeluruh, mengambil kira aspek sosioekonomi yang merangkumi pelbagai pendekatan dan strategi berbanding PPN yang hanya berdasarkan indikator yang sering berubah dan tidak mampu mendepani krisis lebih awal.
Dua perkara di atas menunjukkan RMK12 boleh menjadi blueprint sebenar yang boleh menggabungkan perancangan ekonomi dan kesihatan yang saling berkait serta menjadi syarat utama untuk berjaya dalam fasa pemulihan.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed, RMK12 telah disiapkan dan sentiasa dikemas kini daripada segi strategi dengan mengambil kira impak semasa pandemik Covid-19.
Beliau turut menjelaskan pihaknya sudah bersedia untuk membentangkan RMK12 sekiranya parlimen bersidang semula.
Jadi mengapa kerajaan PN tidak menyegerakan sidang parlimen untuk membahaskan RMK12 sebagai exit plan sebenar untuk keluar daripada krisis pandemik?
Parlimen perlu bekerja sekarang
Hakikatnya, parlimen perlu bekerja sekarang. PPN dan RMK12 perlu dibahas dan diteliti ahli parlimen agar kerajaan tidak mengulangi kesilapan yang menyebabkan rakyat terbeban dan kegagalan dalam membendung wabak.
Perbahasan RMK12 perlu diangkat sebagai agneda utama dan sebagai PPN sebenar dalam menyelesaikan kemelut yang melanda Malaysia.
Tidak ada alasan buat kerajaan PN melengahkan pembukaan parlimen memandangkan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu berpendapat parlimen perlu bersidang secepat mungkin untuk membincangkan isu-isu yang dihadapi oleh rakyat.
Jika kerajaan masih menganggap parlimen sebagai tempat berisiko dijangkiti wabak, maka itu satu fakta yang kurang tepat. Sejak tahun lepas, parlimen sudah mematuhi SOP dan beberapa langkah keselamatan. Pertama, penjarakan fizikal dilaksanakan di dalam dewan sidang antara tempat duduk ahli parlimen beserta penghadang lut sinar yang di setiap meja ahli parlimen. Jumlah ahli parlimen di dalam dewan sidang dihadkan kepada 80 orang sahaja dalam satu masa.
Kedua, setiap ahli parlimen dan petugas perlu menjalani ujian saringan sebelum persidangan parlimen bermula. Pada 3 November 2020, Speaker Dewan Rakyat membuat keputusan agar ahli parlimen dan petugas diwajibkan melakukan saringan ujian Covid-19 setiap dua minggu.
Maksudnya, persidangan parlimen secara fizikal dengan pematuhan SOP bukanlah sesuatu yang rumit kerana ia sudah pun berlaku di dalam parlimen. Gambaran kerajaan yang menyatakan parlimen berisiko dijangkiti Covid-19 sama sekali tidak tepat.
Malah, pelaksanaan parlimen hibird sebagai pendekatan jalan tengah, yang lebih selamat dan mudah, perlu disegerakan kerajaan dalam masa terdekat dan bukan pada bulan September atau Oktober tahun ini.
Fungsi parlimen seharusnya dipandang sama penting dengan peranan kerajaan dalam membendung wabak Covid-19 dan usaha memulihkan negara. Parlimen adalah jawapan yang boleh membawa rakyat keluar kepada daripada krisis pandemik, ekonomi, mahupun politik.
Sudah tiba masanya parlimen menjadi medan menyatukan rakyat dan negara berhadapan pandemik yang masih belum menemui jalan keluarnya.
FAKHRURRAZI RASHID merupakan Koordinator Penyelidik Research for Social Advancement (REFSA)
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.