Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kelantan sedia RM2.25 juta bantu peniaga kecil terjejas akibat Covid-19
Diterbitkan:  Jun 17, 2021 5:50 PM
Dikemaskini: 9:50 AM

Kerajaan Kelantan memperuntukkan RM2.25 juta menerusi Pakej Bantuan Cakna Rakyat Covid-19 fasa kedua khusus untuk membantu peniaga kecil yang terkesan dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ia sebagai kesinambungan kepada Pakej Bantuan Cakna Rakyat Covid-19 berjumlah RM2.7 juta yang diumumkan awal bulan ini.

Menteri Besar Ahmad Yakob berkata, bantuan untuk fasa kedua akan dibuat menerusi pusat khidmat DUN.

Ahmad berkata, kerajaan negeri sentiasa memahami dan memantau kesan ekonomi terhadap peniaga-peniaga kecil yang terkesan akibat wabak Covid-19 ini.

“Atas keprihatinan tersebut, kerajaan negeri bersetuju untuk fasa kedua dengan memperuntukkan sebanyak RM50 ribu bagi setiap DUN dengan keseluruhan peruntukan sebanyak RM2.25 Juta.

“Bantuan ini akan disalurkan melalui 45 Pusat Khidmat DUN sebagai pusat khidmat yang bertanggungjawab untuk mengagihkan kepada peniaga-peniaga kecil yang terkesan,” katanya dalam kenyatan hari ini.

Terdahulu, bantuan fasa pertama Pakej Bantuan Cakna Rakyat Covid-19 turut dibuat menerusi DUN, dengan RM60,000 untuk setiap pusat khidmat DUN.

Ahmad menyuarakan harapan agar peruntukan itu akan membantu rakyat yang terkesan, khususnya peniaga kecil, akibat dampak Covid-19 ini.

“Semoga dengan peruntukan tersebut dapat meringankan beban peniaga-peniaga kecil dan marilah kita terus berdoa dan berikhtiar agar Allah mengangkat wabak ini daripada kita semua,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS