Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lim cadang 'moratorium politik' selagi tiada pegang majoriti kukuh di Parlimen
Diterbitkan:  Jun 17, 2021 3:33 PM
Dikemaskini: 8:38 AM

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mencadangkan "moratorium politik" berhubung persoalan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya meluluskan Belanjawan 2021 dengan kelebihan tiga undi di Dewan Rakyat tahun lalu, persoalan siapa yang memiliki majoriti di Dewan Rakyat dielakkan dengan proklamasi darurat, yang dikatakan untuk menangani wabak Covid-19.

Bagaimanapun soal itu kembali menjadi perhatian apabila darurat dijadual tamat Ogos ini, selain pertembungan pihak dalam Umno dengan kerajaan PN. Ia secara langsung mengancam majoriti yang sedia tipis.

Bagaimanapun, Lim memilih jalan berbeza dengan menggesa moratorium politik, di tengah-tengah wabak Covid-19 yang belum reda.

"Biar saya nyatakan pendirian peribadi saya. Saya sokong Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri kerana bagi saya dia yang paling berpengalaman, cekap dan layak untuk menjadi pemimpin Malaysia yang plural.

"Tetapi kita telah berada dalam kebuntuan Perlembagaan selama lebih setahun, di mana tiada yang mempunyai majoriti jelas di Parlimen di saat negara berdepan ancaman Covid-19.

"Saya yakin Muhyiddin Yassin, yang kebetulan baru menukar nama untuk dokumen rasmi kepada Mahiaddin Md Yasin, juga tidak memiliki majoriti jelas di Parlimen," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, melainkan jika ada yang mampu membuktikan dia memiliki majoriti yang kukuh, tumpuan harus diberikan kepada wabak Covid-19.

"Kecuali ada seorang yang boleh tunjukkan dengan jelas dan meyakinkan di luar Parlimen, yang dia ada majoriti jelas untuk menjadi perdana menteri, isu ini perlu diketepikan dengan ancaman wabak.

"Mesyuarat khas Majlis Raja-raja Melayu semalam telah membuka permulaan baru untuk negara ini, dan ia tidak boleh digunakan oleh mana-mana pihak politik untuk menjustifikasikan pendirian mereka tentang situasi politik negara," katanya lagi.

Anggota Parlimen Iskandar Puteri itu menggesa semua pihak mengetepikan perbezaan politik dan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap usaha melawan Covid-19.

"Justeru, saya mencadangkan moratorium politik sealam setahun, yang boleh dilanjutkan sehingga dua tahun, dengan hanya satu tumpuan nasional - menang dalam perang melawan Covid-19 dan memastikan angka korban tidak lebih 5,000," katanya.

Dia juga mengulangi gesaan agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan tidak menangguhkan pembukaan semula Parlimen.

Terdahulu, Takiyuddin mempertahankan jangkaan Parlimen dibuka semula pada September atau Oktober, walaupun Yang di-Pertuan Agong menitahkan ia dilakukan "secepat mungkin".

"Saya menggesa mesyuarat Kabinet luar biasa bertindak atas keputusan mesyuart khas Raja-raja Melayu semalam, agar Parlimen tidak melanggar peraturan mesyuarat Dewan Rakyat dan bersidang pada 19 Julai ini.

"Sementara itu, jawatankuasa pilihan Parlimen juga perlu dapat berfungsi secara berkesan.

"Malah, perlu ada pembaharuan dan visi baru berkenaan peranan yang dapat dimainkan Parlimen dan pelbagai jawatankuasa ini untuk menang dalam perang melawan wabak Covid-19," kata Lim lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS