mk-logo
Berita
Adakah kita hadapi krisis perlembagaan, tanya Azalina
Diterbitkan:  Jun 17, 2021 2:16 PM
Dikemaskini: 6:32 AM

Seorang lagi pemimpin politik tampil mempertikaikan cara kerajaan menguruskan pandangan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu mengenai pentadbiran negara.

Kali ini orang yang terlibat secara langsung dengan parlimen sendiri, iaitu Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said.

Dia yang mendapat pendidikan formal dalam undang-undang berkata dekri diraja adalah sesuatu yang tidak boleh dipertikaikan.

"Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja sepakat bersetuju bahawa kedaulatan parlimen menjamin urus tadbir yang baik," ciapnya di Twitter hari ini.

Ia hadir sehari selepas Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengadakan perbincangan khas dengan Raja-raja Melayu mengenai situasi semasa negara berhadapan dengan Covid-19 di Istana Negara semalam.

Selepas pertemuan itu berakhir Agong menzahirkan pandangan, persidangan parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli Dewan Rakyat. 

Sejurus kemudian Majlis Raja-raja Melayu mengeluarkan kenyataan menyokong pendirian Agong yang menitahkan agar parlimen segera bersidang. 

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan dalam reaksi yang membayangkan keengganan kerajaan membuka parlimen segera berhujah, kenyataan dibuat Agong itu tidak disertakan tarikh tertentu.

"Agong pun tidak menitahkan bulan berapa, tetapi secepat mungkin.

"PM kita kata pun bulan sembilan atau 10... sekarang kita dah hampir penghujung bulan enam, bulan tujuh, lapan, sembilan pasti akan diadakan tu," katanya malam tadi. 

Takiyuddin yang juga setiausaha agung PAS adalah menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang dan parlimen yang dilantik Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun, pula berkata komitmen yang ditunjukkan Muhyiddin untuk membuka parlimen sekitar September atau Oktober adalah 'rasional'.

Dalam ciapannya Azalina turut menyertakan grafik membayangkan keperluan mendesak agar parlimen dibuka di sebalik pendirian asal kerajaan.

"Adakah kita menghadapi krisis perlembagaan?" katanya yang juga ahli parlimen Pengerang.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS