Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jangan dolak-dalih, guna alasan Agong tak tetap tarikh buka parlimen'
Diterbitkan:  Jun 17, 2021 12:35 PM
Dikemaskini: 4:40 AM

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan menggesa kerajaan supaya menyegerakan pembukaan parlimen seperti mana titah Yang di-Pertuan Agong tanpa memberi sebarang alasan tidak munasabah.

Jelas Mohamad, kerajaan tidak perlu menggunakan alasan bahawa Agong "tidak bertitah bulan berapa parlimen harus bersidang".

"Kerajaan wajar memanggil persidangan parlimen segera. Jangan berdolak-dalih dengan alasan SPB YDPA tidak bertitah bulan berapa parlimen harus bersidang.

"Pengumuman kerajaan melalui Pelan Pemulihan Negara bahawa Parlimen boleh dibuka menjelang September atau Oktober bukan satu kepastian. Ia tertakluk kepada pelbagai syarat seperti pengurangan kes dan kadar vaksinasi melalui pelbagai fasa yang digariskan.

"Parlimen tidak memerlukan pelbagai fasa dan syarat untuk dibuka. Ia adalah medan sebenar segala usaha pemulihan diperdebat dan dibincangkan," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Semalam, Yang di-Pertuan AgongAl-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (bawah) menzahirkan pandangan bahawa persidangan parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Perkara itu, maklum Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin, selepas Agong berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

Keputusan itu dibuat setelah majlis itu memperhalusi pandangan pemimpin politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat dan taklimat pakar agensi-agensi kerajaan serta bagi membolehkan ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan.

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan, berkata Al-Sultan Abdullah tidak memperincikan ataupun menetapkan tarikh bila persidangan Parlimen perlu dilaksanakan.

Takiyuddin Hassan

Katanya, Tuanku hanya berpandangan supaya sidang parlimen diadakan secepat mungkin.

Dalam pada itu, Mohamad menyeru dengan tegas agar titah baginda diterjemahkan dengan segera dan tindakan mempolitikkannya tidak akan membantu pemulihan pantas negara ini.

"Saya menyeru dengan tegas agar titah dan hikmah SPB YDPA diterjemahkan segera. Mempolitikkan titah baginda tidak akan membantu pemulihan pantas negara ini.

"Apa jua alasan untuk melengahkan pembukaan parlimen bukan sahaja tindakan anti demokrasi, tetapi menyinggung kemuliaan dan kebijaksanaan institusi raja yang bebas dan berada di atas politik," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS