mk-logo
Berita
Aktiviti silat di rumah: Lapan individu dikompaun RM24,000
Diterbitkan:  Jun 16, 2021 6:23 PM
Dikemaskini: 10:23 AM

Polis mengenakan kompaun kepada lapan lelaki berjumlah RM24,000 selepas didapati mengadakan aktiviti persilatan di dalam sebuah rumah teres di Bandar Utama, Petaling Jaya tengah malam tadi.

Tujuh individu dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang manakala seorang lagi yang juga penganjur aktiviti itu dikompaun RM10,000.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata kesemua individu terbabit yang berumur lingkungan 26 hingga 51 tahun dikompaun kerana berkumpul dan ziarah yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Bertindak atas maklumat awam, polis menyerbu lokasi itu pada 12.10 tengah malam sebelum hasil pemeriksaan mendapati sekumpulan individu sedang menjalankan aktiviti terbabit.

"Justeru, kesemua mereka dikenakan kompaun di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memberi amaran kepada orang ramai untuk mematuhi PKP 3.0 kerana kegagalan berbuat demikian membolehkan orang ramai dikompaun.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS