Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysia perlu k’jaan sementara yang boleh dipercayai - Johari Ghani
Diterbitkan:  Jun 16, 2021 12:14 PM
Dikemaskini: 4:14 AM

Negara ini memerlukan kerajaan sementara yang telus dan boleh dipercayai dalam menghadapi krisis politik serta wabak Covid-19, kata bekas menteri kewangan Johari Abdul Ghani.

Dalam wawancara dengan akhbar Utusan Malaysia, pemimpin Umno itu mencadangkan agar kerajaan sementara itu diberi kerangka waktu tertentu dan waktu mencukupi untuk hanya fokus menangani wabak Covid-19, dan ia harus dipimpin oleh seseorang yang berpengalaman.

Katanya, perkara itu boleh dilakukan dengan penyatupaduan semua parti politik di negara ini.

“Kerajaan sementara ini akan diberi kerangka waktu tertentu dan cukup waktu untuk hanya fokus menangani wabak Covid-19, termasuk mengelola program vaksinasi secara telus,” katanya yang dipetik akhbar itu.

“Individu ini juga seharusnya tidak memiliki beban politik atau kepentingan diri dan tidak mempunyai niat untuk terlibat secara aktif dalam pilihan raya akan datang,” kata bekas anggota parlimen Titiwangsa itu.

Namun, Johari tidak mencadangkan sebarang nama.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu juga menegaskan bahawa program vaksinasi mesti dilakukan pada kadar segera tas dan tidak ada seorang pun yang seharusnya mendapat keuntungan daripadanya.

Dia juga mencadangkan agar kerajaan sementara itu membuat pelaburan secara besar-besaran bagi memperbanyak unit rawatan rapi di hospital dan membeli peralatan yang diperlukan sebagai rawatan Covid-19, dan bukannya terlalu bergantung pada vaksin.

“Di United Kingdom, setelah proses vaksinasi capai hampir 50 peratus, varian Delta baru-baru ini meningkatkan kembali bilangan kes Covid-19 mengakibatkan kerajaannya terpaksa menangguhkan keputusan untuk menarik balik larangan pergerakan.

“Kementerian Kesihatan juga harus terbuka untuk alternatif lain yang digunakan oleh negara lain atau yang telah disetujui oleh badan antarabangsa seperti WHO,” katanya.

Johari turut mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merancang bagaimana untuk mengadakan pilihan raya umum dalam 18 bulan ke depan memandangkan wabak itu mungkin berlanjutan lebih lama daripada yang dijangkakan


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS