Ahli Parlimen Gua Musang Umno Tengku Razaleigh Hamzah mahu Raja-Raja Melayu memainkan peranan keperlembagaan yang dianggap penting ketika negara sekarang berada dalam keadaan genting semasa krisis ekonomi dan kesihatan akibak wabak Covid-19.
Dia membuat rayuan itu menjelang mesyuarat Majlis Raja-Raja yang dijadualkan petang hari ini.
Yang di-Pertuan Agong dijangka berbincang dengan Raja-Raja Melayu berhubung pelaksanaan darurat yang sepatutnya berakhir pada bulan Ogos nanti.
Oleh itu, katanya, peranan berkenaan timbul selaras dengan sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong di hadapan Raja-Raja Melayu yang memilih baginda mewakili Majlis Raja-Raja Melayu.
“Tanggungjawab ini memerlukan pemilihan seorang pemimpin tanpa kepentingan peribadi, parti politik mahu pun pertimbangan peribadi.
“Pemimpin tersebut semestinya mempunyai kemampuan, keupayaan, visi dan pemahaman mendalam mengenai keadaan semasa demi memimpin kerajaan yang mampu membantu kita mengatasi keadaan teruk yang melanda rakyat sekarang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah bergelut dengan majoriti tipis tetapi ini diselamatkan sementara waktu setelah Parlimen digantung semasa darurat.
Namun, nasib kerajaan PN sekali lagi akan menjadi tumpuan selepas bulan Ogos.
Tengku Razaleigh tidak menawarkan sebarang penyelesaian khusus tetapi berpendapat perlembagaan dan institusi-institusi negara tidak terbentuk untuk meghadapi keadaan yang sedang melanda negara sekarang.
Katanya, sama ada institusi-institusi kenegaraan kita dapat menangani keadaan ini adalah suatu keraguan oleh kerana mutu kepimpinan pada masa kini menjadi tanda tanya.
“Terdapat tiga kekurangan Dewan Rakyat, yang ditauliahkan oleh perlembagaan sebagai penentu muktamad untuk memilih perdana menteri daripada kalangan wakil rakyat.
“Ia tidak berfungsi secara menyeluruh oleh kerana sebahagian daripada wakil rakyat mempunyai kepentingan kewangan (sama ada secara terbuka atau pun secara senyap) dan
hilang kelayakan mengikut Akta Majlis Parlimen (Kestimewaan dan Kuasa) 1952,” katanya.
Menurut Tengku Razeleigh, Dewan Rakyat kini dalam keadaan tergantung dan tiada pihak mempunyai majoriti untuk membuat keputusan.
“Juga terdapat ahli-ahli yang tidak menepati peruntukan perlembagaan berkaitan dengan pemilihan mereka dan ini merupakan penipuan terhadap perlembagaan
“Tidak terdapat peruntukan di dalam pelembagaan atau mana-mana undang-undang untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya sambil menambah negara sedang menghadapi situasi yang belum pernah terjadi sebelum ini.
Dia berkata, kepimpinan seperti yang terdapat di masa lampau kini tidak relevan lagi, di samping ia tidak dapat menangani pelbagai masalah berkaitan dengan ekonomi yang dihadapi serentak termasuk masalah pengangguran tinggi, kehilangan pendapatan dan kewangan semakin kurang untuk membiayai, sebagai contoh, makanan dan kesihatan
Pandangan Tengku Razaleigh hampir sama dengan Dr Mahathir Mohamad yang menganjurkan agar Yang Di-Pertuan Agong melantik Majlis Gerakan Negara (Mageran) untuk menggantikan kerajaan PN.
Majlis itu serupa dengan badan yang mentabdir negara susulan tragedi 13 Mei 1969.
Pakatan Harapan, bagaimanapun, mahu darurat ditamatkan, dan akan akan mencari sekutu baru untuk mencabar PN.