Bekas menteri kabinet Rafidah Aziz mengkritik Pelan Pemulihan Negara Covid-19 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin awal hari ini sebagai kekurangan strategi.
Dia berkata ucapan Muhyiddin tidak menampakkan strategi untuk membantu pelbagai sektor bergerak maju dalam fasa pemulihan dari kesan pandemik.
Antara perkara yang dibangkitkan dalam kenyataannya itu hari ini termasuk kurangnya pelan untuk mengatasi kerugian yang ditanggung daripada menutup sektor pendidikan dan ekonomi selama 15 bulan lalu atau memberikan lebih banyak peluang pekerjaan seperti dengan memperkenalkan potongan cukai.
Dia berkata perlu ada juga pelan-pelan untuk mengatasi masalah-masalah yang berkaitan dengan kesihatan susulan dari tekanan dari perintah kawalan pergerakan yang berpanjangan, serta meneliti semula undang-undang dan perundangan sedia ada berdasarkan pelbagai jenis perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan sebelum ini.
"Semua ini mesti dilakukan selari dengan pengurusan Covid-19," katanya.
Dia berkata demikian sebagai respons balas kepada pelan pemulihan negara sebagai persiapan keluar Covid-19, yang diumumkan oleh Muhyiddin hari ini.
Muhyiddin antara lain dalam ucapannya menggariskan unjuran garis masa pelan yang terdiri daripada empat fasa untuk membuka semula ekonomi Malaysia berikutan penutupan yang dilaksanakan sejak 1 Jun.
Menurutnya, untuk ke arah pemulihan sepenuhnya itu, kerajaan menetapkan empat fasa secara berperingkat.
Contohnya dari fasa satu ke fasa dua, purata kes harian Covid-19 negara haruslah di bawah 4,000 kes, dengan kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pulih ke paras sederhana; serta sekurang-kurangnya 10 peratus populasi telah menerima dua dos suntikan vaksin.
Dengan memenuhi syarat-syarat tersebut, kerajaan mempertimbangkan untuk beralih ke fasa dua, yang akan menyaksikan beberapa sektor ekonomi dibuka semula tetapi dengan sektor sosial tetap ditutup. Peralihan itu dijangka berlaku pada bulan Julai atau Ogos.
Muhyiddin tidak menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan “purata” kes harian atau penggunaan "sederhana" bagi ICU.
Sementara itu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyambut baik pelan pemulihan itu dan menyatakan keyakinannya bahawa ia akan berjaya kerana pemberian vaksin dijangka meningkat kepada 16 juta dos pada Julai.
“Semoga usaha ini dapat mengurangkan jangkitan wabak Covid-19 serta meringankan beban rakyat yang terjejas dari sudut ekonomi,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii menyatakan kebimbangannya berhubung penggunaan jumlah kes harian Covid-19 sebagai penanda aras bagi peralihan fasa pemulihan.
"Keprihatinan saya untuk menggunakan kes mutlak sebagai barometer adalah, sekali lagi, ini sangat bergantung pada ujian. Oleh itu, melainkan jika kita menyesuaikan pelaporan dengan ujian yang dilakukan, maka itu adalah parameter yang lebih penting,” katanya di Twitter.
Mengulas kenyataan Muhyiddin mengenai Parlimen akan dibuka semula pada fasa tiga, Yii turut mempersoalkan mengapa parlimen tidak dianggap sebagai perkhidmatan yang penting ketika ini.
Fasa tiga akan dilaksanakan sekiranya:
- Purata kes harian Covid-19 menurun ke paras bawah dua ribu kes;
- Sistem kesihatan awam berada di tahap selesa dengan penurunan kadar penggunaan katil di ICU ke paras mencukupi; dan
- 40 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin.
Nilai ambang itu dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir bulan Ogos tahun ini.
Selain persidangan parlimen, kebanyakan sektor ekonomi dibenarkan beroperasi pada fasa tiga, kecuali aktiviti yang berisiko tinggi, yang boleh menyebabkan jangkitan Covid-19.