story images
story images
mk-logo
Berita
'PH, Umno dan Bersatu takkan sokong gandingan Hisham-Azmin'
Diterbitkan:  Jun 15, 2021 1:54 PM
Dikemaskini: 5:54 AM

Ketika gosip politik tersebar mendakwa wujud usaha mendapatkan sokongan dalam kalangan ahli parlimen bagi menaikkan gandingan Hishammuddin Hussein dengan Azmin Ali, DAP tampil dengan penegasan sendiri.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata di sebalik dakwaan tersebut hakikat yang tidak dijelaskankan ialah, idea tersebut tidak akan mendapat sokongan majoriti ahli parlimen.

Merujuk kepada laporan The Star pada 14 Jun, Lim berkata tidak ada mana-mana pihak boleh menerima gandingan tersebut.

"Baik Pakatan Harapan (PH) atau Umno mahupun Bersatu tidak akan menyokong pasukan Hishammuddin dan Azmin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini beberapa pihak termasuk PKR membayangkan wujud gerakan mengumpul sokongan dalam kalangan ahli parlimen untuk mengetengahkan kedua-dua pemimpin terbabit.

Menurut khabar angin itu apabila Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berundur dari jawatannya Hishammuddin - yang juga bekas naib presiden Umno - akan diangkat menjadi pengganti.

Azmin - bekas timbalan presiden PKR yang kini menjadi seorang daripada menteri kanan Muhyiddin - pula akan dipilih sebagai timbalan perdana menteri.

Kata Lim akhbar berkenaan memberi ruang kepada khabar angin yang tidak berasas namun yakin tiada tindakan yang akan dikenakan ke atas media berkenaan kerana ia dimiliki MCA.

Tiada permintaan maaf dibuat

Menurut bekas menteri kewangan itu lagi, Azmin dilihat sebagai penggerak utama Langkah Sheraton yang menggulingkan PH walaupun gabungan itu diberikan mandat oleh rakyat untuk menjadi kerajaan pada 2018.

Azmin juga kata Lim pada Ogos tahun lalu mendakwa lebih ramai rakyat Malaysia akan meninggal dunia kerana Covid-19 jika Perikatan Nasional tidak menjadi kerajaan.

"Azmin secara terang-terang telah berbohong. Pada 23 Ogos 2020 jumlah kematian kumulatif adalah 125 dengan 9,267 kes.

"Sehingga 14 Jun tahun ini jumlah kematian meningkat kepada 3,968 dengan jumlah kumulatif 662,457 kes.

"Sejak 23 Ogos 2020, seramai 3,843 lagi rakyat Malaysia meninggal dunia akibat ketidakcekapan dan salah urus pandemik Covid-19 oleh kerajaan PN.

"Sudah tentu tidak ada permintaan maaf atau penyesalan dari Azmin kerana membuat kenyataan yang tidak berasas seperti itu," katanya.

Satu lagi dakwaan dibuat akhbar tersebut, kata Lim, ialah dia kononnya mahu menjadi timbalan perdana menteri - bersama Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi - jika Pengerusi PH Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Semasa PH menjadi kerajaan dulu kata Lim dia tidak pernah mengejar jawatan berkenaan sebaliknya berbangga sebab diberi peluang menjadi menteri kewangan.

"Jelas ini adalah usaha terdesak untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada kegagalan PN menangani krisis Covid-19, ekonomi dan politik dengan melemparkan umpan politik kepada golongan rasis dan ekstremis agama dalam PN," katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS