Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dakwaan 'diugut polis': Penjaja tak dapat cam anggota terlibat

Polis telah memanggil penjaja Lim Thiam Fook dan pembantunya yang berusia 13 tahun untuk mengenal pasti suspek dakwaan peras ugut oleh anggota polis.

Bagaimanapun, menurut Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai, kedua-duanya tidak dapat mengenal pasti mana-mana suspek ketika dipanggil ke balai polis semalam.

"Kami panggil mereka ke balai polis untuk prosedur pengecaman, untuk kenal pasti jika mana-mana anggota polis terlibat dalam kes ini.

"Setakat ini mereka tak boleh kenal pasti sesiapa. Apabila insiden berlaku, kedua-duanya hanya lihat mata mereka. Jadi siasatan masih diteruskan.

"Siasatan masih tidak dapat menentukan sama ada pelaku adalah anggota polis atau mereka yang menyamar (sebagai polis)," kata Beh.

Pada 6 Jun lalu, Thiam Fook dan pembantunya yang berusia 13 tahun - yang membantunya sempena cuti sekolah - mengadakan sidang media bersama-sama Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, dan mendakwa dia diperas ugut tiga anggota polis ketika memandu ke restoran tempat dia berniaga pada awal pagi 2 Jun.

Dia mendakwa ketika polis mengetahui bahawa kedua-duanya tidak mempunyai surat kebenaran dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) untuk beroperasi, mereka mengancam untuk menahan mereka jika tidak dapat membayar denda berjumlah RM3,000.

Dia mendakwa anggota polis turut menumpahkan sup jualannya dengan alasan untuk "memeriksa dadah" sebelum mengambil RM500 daripadanya untuk "menyelesaikan isu itu".

Terdahulu, Miti telah menjelaskan penjaja kecil tidak memerlukan surat kebenaran kementerian itu dan hanya permit penjaja diperlukan untuk membolehkan mereka terus beroperasi sepanjang sekatan pergerakan penuh.

Siasatan dua peringkat

Polis menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan atas kesalahan pemerasan.

Minggu lalu, polis berkata akan memanggil bapa dan teman wanita Thiam Fook untuk memberi ketarangan.

Bagaimanapun, Beh berkata polis memutuskan untuk tidak memanggil bapa penjaja itu yang tinggal di Tanjung Malim, Perak, manakala teman wanitanya masih tidak dapat hadir untuk memberi keterangan.

Beh berkata lagi, Lip Eng pula telah memberi keterangan pada Jumaat lalu.

Berhubung perkembangan siasatan, Lip Eng memberitahu Malaysiakini bahawa polis sepatutnya ada buku log yang merekodkan jadual lokasi dan waktu rondaan polis.

Justeru, dia berkata tidak sukar untuk mengenal pasti tiga suspek yang terlibat jika siasatan dijalankan secara profesional.

Terdahulu, kes ini dilaporkan dibahagikan kepada dua peringkat. Pada peringkat pertama, dakwaan Thiam Fook yang dia diperas ugut didapati memang berlaku.

Polis kini sedang menyiasat sama ada pelaku memang merupakan anggota polis atau mereka yang menyamar sebagai anggota pasukan itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS