Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Elak ke hospital, pesakit Covid-19 ditemukan sembunyi dalam kebun

Pesakit Covid-19 yang melarikan diri dari rumahnya di Tongod di Kinabatangan, Sabah kelmarin dipercayai kerana mahu mengelak daripada dibawa ke hospital, ditemukan bersembunyi di sebuah kebun berdekatan rumahnya kira-kira 6.50 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt Dzulbaharin Ismail berkata lelaki warga emas berusia 69 tahun itu, kemudiannya diserahkan kepada pihak petugas kesihatan untuk tindakan selanjutnya.

Pukul 12 tengah hari kelmarin, dia berkata pesakit itu didapati tiada di rumah ketika sepasukan petugas kesihatan dari Klinik Kesihatan Tongod datang untuk menjemputnya untuk dibawa menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

"Rumahnya juga berada dalam keadaan berkunci dan tidak berpenghuni. Sebelum itu dia dilaporkan sedang mengemas barangannya setelah dimaklum akan dibawa ke hospital,” katanya ketika dihubungi pemberita semalam.

Menurut Dzulbaharin, selepas mendapati pesakit itu tiada di rumahnya, petugas Klinik Kesihatan Tongod telah balik ke klinik dan menunggu pesakit itu datang, namun lelaki itu tidak muncul menyebabkan laporan polis dibuat bagi tujuan mengesan kedudukannya kerana dikhuatiri akan menjangkiti orang awam.

Sehubungan itu dia menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memberikan kerjasama dan mematuhi segala arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS