Bekas perdana menteri Najib Razak berikrar tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meneruskan notis kebankrapan terhadapnya tidak akan menghentikan dirinya "bersuara demi rakyat."
Ahli parlimen Pekan berkata demikian pada hantaran di Facebook selepas gagal mendapatkan penangguhan berhubung keputusan mahkamah yang berkaitan dengan tuntutan cukai kerajaan sebanyak RM1.69 bilion terhadap dirinya.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Najib untuk menangguhkan penghakiman dalam kes tuntutan cukai LHDN terhadap bekas menteri kewangan itu.
LHDN bergantung pada penghakiman berkenaan untuk meneruskan prosiding kebangkrapan terhadap Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang berasingan.
Najib juga sedang merayu di Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Najib pada hantaran di Facebook hari ini menegaskan keputusan mahkamah hari ini belum menjadikan dirinya muflis.
"Saya belum bankrap lagi... Lama lagi dan banyak lagi proses serta langkah perlu diambil sekiranya kerajaan PN tetap nak bankrapkan saya.
"Lagipun sekiranya kerajaan PN berjaya pun, ianya tak bermaksud saya akan henti bersuara demi Rakyat dan tiada sesiapa yang pernah kata status bankrap tidak boleh dipulihkan dalam masa terdekat sebab bankrap tak bermaksud saya lumpuh.
"Status bankrap juga tak maksud saya terus bertukar menjadi sembab, lembab atau bodoh seperti diakui seseorang tertentu di dalam bicara khas hari itu," kata Najib tanpa menjelaskan perincian individu dan program bual bicara yang dimaksudkannya itu.
Bekas presiden Umno itu menegaskan mahkamah hari ini mengakui Pesuruhjaya Cukai Khas (SCIT) perlu mengkaji semula pengiraan denda cukai terhadapnya, sambil menambah proses ini belum dimulakan walaupun telah menunggu selama dua tahun terakhir.
Dia juga menunjukkan sebahagian keputusan mahkamah hari ini bahawa kerajaan mampu membayar balik RM1.7 bilion (termasuk denda baru) kepadanya, sekiranya dia berjaya dalam rayuan taksiran semula cukainya dengan SCIT.
Mahkamah Tinggi menolak permohonan penangguhan Najib kerana kerajaan dapat memberi ganti rugi sekiranya dia berjaya dalam rayuan taksiran semula cukai dengan SCIT.
"Inilah apa yang saya maksudkan bahawa ianya amat mudah bagi sesebuah kerajaan untuk menyalahgunakan akta cukai untuk kenakan seteru mereka dengan apa-apa taksiran cukai yang mereka mahu.
"Kalau kerajaan nak kenakan denda cukai sebanyak RM1 trilion ke atas Mahathir atau Guan Eng pun jalan terus dan sah di bawah undang-undang atas dasar "bayar dulu, bincang kemudian" ini.
"Soal pengiraan taksiran itu sahih atau tidak, kira nanti,” kata Najib.