Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim dan isterinya antara nama yang berdaftar sebagai anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) tanpa pengetahuan dan kerelaan diri mereka.
"Rupa-rupanya saya dah jadi ahli Rela sejak 2011 tanpa disedari.
"Siap ada no ahli dan kod platun. Macam mana ini?
"Adakah pendaftaran automatik untuk semua rakyat Malaysia? Sebab isteri saya pun ahli Rela kalau menurut laman semakan ahli Rela ini," katanya pada kicauan di Twitter.
Semakan daftar nama keanggotaan Rela menjadi perbincangan warganet yang menyatakan rasa terkejut mereka.
Ini selepas pautan pemeriksaan keanggotaan Rela menjadi tular di media sosial dan ramai warganet mendapati nama mereka didaftar sebagai anggota.
"Baru semak di laman web Rela. Nama saya tidak berdaftar tetapi isteri saya berdaftar. Apa yang sebenarnya terjadi," kata pemilik akaun Twitter, KNB.
Sementara itu, M5Zoul/Buruh pula menyoal di Twitter: "Arwah mak aku yang uzur pun ada. Persoalannya, kalaulah ada dapat elaun. Dapat kat sapa?"
Warganet juga meninggalkan komen di laman Facebook Rela menuntut 'pembayaran elaun bulanan' yang sepatutnya diterima mereka sebagai anggota.
"Adakah isu pendaftaran Rela ini bermaksud ada orang menggunakan kad pengenalan kamu untuk menuntut elauan atau lain-lainnya," soal pemilik akaun Facebook, Luqman Hakim.
Menjelaskan persoalan dibangkitkan pengguna Facebook, Rela mengatakan ini mungkin disebabkan oleh kempen keanggotaan besar-besaran pada tahun 2021.
"Kami difahamkan bahawa pendaftaran keanggotaan Rela dilakukan secara besar-besaran pada tahun 2012.
"Mungkin pada masa itu, jabatan kami menerima senarai nama dan didaftarkan terus ke dalam sistem," kata Rela, petik laporan Malay Mail membalas komen pengguna Facebook.
Sesiapa yang ingin menggugurkan keanggotaan Rela yang diperolehi tanpa kerelaan dan pengetahuan penama boleh melakukannya dengan menyalurkan maklumat yang diperlukan kepada Rela, kata kenyataan itu.
Pun begitu, selepas penemuan berkenaan, Rela juga mula menggugurkan nama yang berdaftar sebagai anggota tanpa persetujuan mereka daripada senarai keahlian.
Malaysiakini telah menghubungi Rela untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara ini.