Selepas ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kes rogol pada minggu lalu, seorang pegawai polis berpangkat inspektor dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ACP Wan Khairuddin Wan Idris berkata, pegawai berkenaan dibebaskan kira-kira jam 12 tengah hari tadi.
Menurutnya, siasatan kes berkenaan sudah selesai dan perkara itu akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
"Pegawai berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis kerana dia tidak akan melarikan diri memandangkan bertugas sebagai polis," katanya ketika dihubungi media di Kota Bharu hari ini.
Wan Khairuddin menambah, pegawai polis berkenaan akan kembali bertugas macam biasa kerana dia belum lagi didapati bersalah.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan seorang pegawai polis ditahan untuk disiasat berhubung dakwaan memaksa seorang tahanan wanita - antara lain - melakukan seks oral.
Kejadian itu didakwa berlaku di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.
Kejadian itu didakwa berlaku pada 5 Jun lepas, ketika pegawai tersebut menjalankan siasatan ke atas tahanan wanita berusia 27 tahun itu yang ditangkap bersama bekas suaminya berhubung kes dadah.