Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cukai RM1.69 bilion: Najib gagal batal notis kebankrapan LHDN

Najib Razak gagal mendapatkan penangguhan berhubung keputusan mahkamah yang berkaitan dengan tuntutan cukai kerajaan sebanyak RM1.69 bilion terhadap dirinya.

Sehubungan itu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) boleh meneruskan notis kebankrapan terhadap bekas perdana menteri itu.

Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Ahmad Bache melalui e-mel kepada pasukan peguam yang mewakili Najib dan LHDN.

Bekas perdana menteri itu mengemukakan permohonan berkenaan atas alasan notis yang dikeluarkan LHDN bertarikh 4 Februari lalu adalah berniat jahat, menindas dan penyalahgunaan proses mahkamah.

Dia juga mendakwa notis itu merupakan taktik konspirasi politik yang bertujuan untuk merosakkan karier politiknya.

Kerajaan, melalui LHDN, memfailkan notis kebankrapan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur terhadap Najib selaku penghutang.

Berdasarkan notis itu, Najib perlu membayar RM1.69 bilion dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 22 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Februari 2021 iaitu RM45.9 juta serta kos RM15,000 dan setakat 4 Februari 2021, jumlah itu menjadi RM1,738,804,204.16.

Pada 22 Julai tahun lalus, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Najib memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan yang menetapkan 16 Jun ini untuk pendengaran.

Mengikut Seksyen 103 (2) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ITA), seseorang yang diperintahkan membayar taksiran itu perlu menjelaskan bayaran tersebut kepada LHDN walaupun rayuan difailkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS