mk-logo
Berita
Isu darurat: Takiyuddin ada banyak tiang gol, soal Puad
Diterbitkan:  Jun 13, 2021 9:02 PM
Dikemaskini: 1:23 PM

Pemimpin Umno menggunakan kiasan tiang gol bola sepak untuk mengecam Menteri Undang-Undang Takyuddin Hassan.

Ini selepas Takiyuddin menegaskan bahawa kabinet tidak mengalihkan tiang gol berhubung tempoh darurat yang akan berakhir pada bulan Ogos.

Ini kerana wujud tanggapan kerajaan tidak komited terhadap garis waktu bulan Ogos dan mungkin meminta lanjutan tempoh darurat.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan kenyataan Takiyuddin bahawa jemaah menteri yang akan memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai penamatan darurat.

"Kalau begitu apa gunanya Jawatankuasa Khas Bebas Darurat," soalnya pada hantaran di media sosial hari ini.

"Apa yang merisaukan, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang diketuai oleh (bekas ketua hakim negara) Tun Ariffin Zakaria akan mengadap YDP Agong selasa ini.

"Dengan kenyataan Takiyuddin itu, apakah laporan jawatankuasa bebas itu nanti tidak akan diguna pakai," soalnya.

Menurut Puad sekiranya kabinet yang berhak menasihat Agong mengenai darurat dan maka penatlah jawatankuasa khas itu bersidang sebulan dua kali.

"Seolah olah penubuhan jawatankuasa bebas hanya politiking sahaja. Pecah tembelang. Azalina kata, kenyataan Takiyuddin itu umpama alih tiang gol.

"Takiyuddin simpan banyak tiang gol ke," soal Puad.

Sementara itu seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi Umno Ahmad Shabery Cheek turut membangkitkan soal Jawatankuasa Bebas yang dilantik kerajaan PN untukmenasihatkan Yang Di-Pertuan Agong itu.

Dia menyamakan ini dengan penggunaan Video Assistant Referee (VAR), perkembangan yang agak baru dalam industri bola sepak di mana penentuan pelanggaran dibantu oleh teknologi video berbanding kaedah tradisional bergantung pada penglihatan pengadil manusia.

"Bagi yang faham, ketika permainan sedang berjalan, janganlah ubah peraturan.

"Dulu dah setuju pakai VAR. Bila VAR tak menyebelahi pasukannya tukar ke TMS (Tengok Mata Sendiri)," katanya.

Shabery juga menyoal jika tiang gol akan terus dialih pada masa depan.

"Bukan referee je pening, penonton pun pengsan." katanya pada hantaran di Facebook.

Takiyuddin pada malam ini memberikan maklum balas segera mengenai isu 'pengadil dan mengubah tiang gol' itu.

"Benar, untuk menang dengan apa cara sekalipun tanpa mengambi kira peraturan adalah tidak beretika. Tetapi tidak mengubah peraturan ketika keadaan dan dinamika telah berubah adalah bodoh dan tidak adil.

"Pengadil yang baik membuat keputusan dengan cepat, tetapi menilai dengan perlahan setelah merujuk kepada peraturan yang tepat," katanya di Twitter.

Terdahulu, Takiyuddin mempertahan kenyataannya, berkata kerajaan tetap mengiktiraf Jawatankuasa Bebas Khas Darurat yang dibentuk dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Jelasnya, kenyataan medianya berhubung peranan kerajaan dari segi Perlembagaan dan undang-undang berkaitan perisytiharan Darurat telah dipetik di luar konteks.

Takiyuddin semalam berkata jemaah menteri bertanggungjawab untuk memberi nasihat kepada Yang di Pertuan Agong sama ada darurat perlu dilanjutkan atau tidak.

Dia berkata demikian sebagai respons kepada laporan yang memetik Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah bahawa hanya Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara mengenai tempoh darurat.

Kenyataan Takiyuddin itu mengundang kritikan timbalan speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman Said yang mengatakan kerajaan tidak seharusnya "mengalihkan tiang gol" ketika darurat hampir berakhir.

Dua anggota Jawatankuasa Bebas Darurat iaitu Noh Omar dari Umno dan Saifuddin Nasution Ismali dari PKR juga menyifatkan kenyataan Takiyuddin sebagai penghinaan kepada jawatankuasa bebas berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS