Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Badan kehakiman sudah ambil inisiatif tambah baik proses reman
Diterbitkan:  Jun 13, 2021 7:09 PM
Dikemaskini: 11:09 AM

Badan kehakiman di negara ini sudah mengambil inisiatif untuk meneliti dan mengkaji arahan amalan dan pekeliling berkaitan permohonan perintah tahanan reman untuk menambah baik proses yang ada.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia berkata mereka diarahkan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat untuk memaklumkan, undang-undang yang terpakai bagi permohonan perintah tahanan reman adalah seperti diperuntukkan di bawah Kanun Tatacara Jenayah dan undang-undang khusus lain yang berkaitan.

"Pada masa sama terdapat juga Arahan Amalan Ketua Hakim Negara Bilangan 3 Tahun 2003 dan Pekeliling Ketua Pendaftar Bilangan 2 Tahun 2012 yang menetapkan tatacara permohonan perintah tahanan reman di bawah seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah," kata pejabat itu dalam kenyataan hari ini.

Ia dikeluarkan sebagai reaksi badan kehakiman terhadap surat seorang peguam M Manoharan, kepada Tengku Maimun dan disiarkan Malaysiakini pada 10 Jun lalu, bertajuk “Deaths in custody: 10 suggestions for CJ to improve remand process”.

Dalam tulisannya Manoharan mencadangkan beberapa penambahbaikan proses perintah tahanan reman ketika beberapa kematian dalam tahanan dilaporkan baru-baru ini.

Antara pembaharuan yang dicadangkan peguam terbabit ialah agar seseorang majistret menolak permohonan reman daripada pihak berkuasa jika suspek tidak diwakili oleh peguam, atau berpenyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi atau masalah jantung.

Untuk rekod Arahan Amalan Ketua Hakim Negara Bilangan 3 Tahun 2003 dikeluarkan ketua hakim negara ketika itu, Dzaiddin Abdullah.

Dzaiddin juga sebelum ini pernah mengetuai suruhanjaya siasatan diraja bagi menambah baik perjalanan dan pengurusan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kemudian mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) pada 2004.

Arahan itu antara lain memerlukan majistret bertanya jika seseorang suspek diberikan peluang untuk berhubung dengan peguam atau dia mahu diwakili peguam.

Ia juga menggariskan apa yang mesti dilakukan seseorang majistret semasa membuat pertimbangan permohonan reman.

Pekeliling Ketua Pendaftar Bilangan 2 Tahun 2012 pula menghendaki majistret memaklumkan kepada suspek yang tidak diwakili peguam bahawa dia berhak mendapatkan wakil daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS