Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ada janji temu suntikan vaksin di Mitec ditunda, kata JKJAV
Diterbitkan:  Jun 13, 2021 6:05 PM
â‹…
Dikemaskini: 10:05 AM

Sesetengah janji temu untuk mendapatkan vaksin di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec) di Kuala Lumpur pada 14 Jun hingga 18 Jun ini ditunda ke tarikh baru.

Kenyataan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) individu yang terbabit akan disuntik enam atau tujuh hari kemudian berbanding tarikh asal.

Berdasarkan grafik yang dipaparkan di media sosial JKJAV, ada antara mereka yang sepatutnya disuntik pada 14 Jun akan hanya diberikan vaksin tersebut pada 21 Jun.

Bagi sebahagian individu lain yang dijadual menerima suntikan pada 15 Jun pula akan diberikan vaksin pada 22 Jun, manakala yang diberi tarikh 17 Jun akan disuntik pada 23 Jun.

Sesetengah penerima yang sepatutnya diberikan suntikan pada 18 Jun pula akan menerima dos masing-masing pada 24 Jun.

"Sila rujuk MySejahtera untuk membuat semakan jika tarikh janji temu anda telah ditukar.

"Jika tiada perubahan anda boleh teruskan janji temu anda," kata JKJAV.

Menurut agensi itu langkah penjadualan semula tarikh janji temu itu dibuat bagi mengelakkan keadaan sesak di pusat pemberian vaksin terbabit serta memastikan penjarakan fizikal dapat dilakukan.

Sementara itu Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata masalah penangguhan yang berlaku adalah sesuatu yang menimbulkan kehairanan ketika kadar pemberian vaksin itu sendiri kini berlaku secara lambat.

Katanya JKJAV perlu bersikap telus dan memberi penjelasan mengapa berlaku penangguhan tersebut kerana ia sangat menyusahkan orang ramai.

"Apakah penangguhan ini disebabkan JKJAV sudah kehabisan bekalan vaksin dan perlu menunggu bekalan baru, atau mereka mengalami masalah logistik pengedaran vaksin?

"Apa pun alasan untuk penangguhan ini, orang ramai perlu tahu sebabnya," kata Lim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS