Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tiada lesen perlombongan baru di Tasik Chini sejak 2019'
Diterbitkan:  Jun 13, 2021 11:19 AM
Dikemaskini: Jun 29, 2021 4:20 AM

Menteri Alam Sekitar dan Air (Kasa), Tuan Ibrahim Tuan Man mengalu-alukan keprihatinan Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail dan kerajaan negeri berhubung isu.kelestarian alam sekitar dan sumber air di Tasik Chini.

Dia berkata demikian susulan kenyataan Pejabat Tanah dan Galian Pahang semalam bahawa tiada lesen perlombongan baru akan dikeluarkan setelah tanah seluas 4,600 hektar di Tasik Chini, Pekan diwartakan sebagai Hutan Simpan Chini pada 13 Mac 2019.

"Saya juga menyokong kenyataan kerajaan negeri Pahang yang komited untuk tidak meluluskan mana-mana permohonan baru aktiviti perlombongan di dalam kawasan Tasik Chini, selaras dengan persetujuan kerajaan negeri untuk mewartakan Taman Negeri Tasik Chini sebagai kawasan Hutan Simpan Chini pada tahun 2019.

"Konsep 'whole of government approach' iaitu kerjasama strategik antara Kasa dengan agensi-agensi lain termasuk kerajaan negeri ini amat penting dalam memastikan kelestarian tapak “Biosphere Reserve, Unesco” iaitu Tasik Chini sentiasa dilindungi sebagai khazanah alam dunia," katanya dalam satu kenyataan.

Minggu lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa kerajaan Pahang telah memberikan persetujuan kepada sebuah syarikat untuk menjalankan operasi perlombongan kira-kira tiga kilometer dari Tasik Chini, sehingga menimbulkan kemarahan aktivis alam sekitar.

Laporan tersebut menimbulkan spekulasi yang membimbangkan mengenai kualiti air di Tasik Chini kerana aktiviti penebangan hutan dan perlombongan di sekitar tasik.

Pejabat Tanah dan Galian Pahang semalam berkata sebanyak 14 lesen telah dikeluarkan sebelum diwartakan dan daripada jumlah itu hanya dua yang masih beroperasi.

"Satu lesen akan berakhir pada akhir bulan ini sementara yang lain pada akhir tahun ini.

"Pihak berkuasa negeri komited untuk memastikan bahawa tidak ada lesen baru yang akan dikeluarkan di Tasik Chini selain tidak berkompromi terhadap pemajak atau kegagalan syarikat untuk mematuhi syarat yang ditetapkan.

"Pada 17 Jun 2020, pihak berkuasa negeri mengeluarkan arahan berhenti kerja segera terhadap 11 orang penyewa atau pengusaha di kawasan Tasik Chini kerana tidak mematuhi syarat-syarat kelulusan perlombongan," katanya.

Katanya, terdapat lapan agensi teknikal bawah kerajaan negeri dan persekutuan yang terlibat dalam penilaian kepatuhan terhadap syarat-syarat aktiviti perlombongan, termasuk Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Perhutanan negeri dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Yang lain adalah Jabatan Pengairan dan Saliran, pejabat tanah dan daerah, badan pengurusan air,  Jabatan Hidupan Liar, Taman Negara (Pahang) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Di samping itu, PBN juga mengeluarkan prosedur operasi standard untuk tindakan pemulihan kerana ketidakpatuhan terhadap syarat-syarat untuk kelulusan kegiatan perlombongan di Tasik Chini pada 20 Julai 2020, kepada semua pemajak atau pengusaha yang terlibat.

 "Mereka hanya dibenarkan beroperasi setelah semua arahan dipatuhi, termasuk harus melakukan pembatasan yang jelas, menanam semula pokok, mendaftarkan penggunaan mesin, dikenakan bayaran jaminan RM250,000 dan memberikan kuasa kepada pasukan penguatkuasa.

"Jabatan Perhutanan negeri telah melakukan pekerjaan pemulihan dan penanaman pokok dari 18 Nov 2019 hingga 30 Dis 2019, melibatkan kawasan seluas 1.2 hektar di kawasan Tasik Chini melalui Dana Amanah Rehabilitasi Bersama dengan biaya sebanyak RM250,000," kata Pejabat Tanah dan Galian Pahang.

Dakwaan Tasik Chini sudah dipulihara dipertikai

NGO alam sekitar, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) sebelum ini menyangkal dakwaan bahawa kawasan sekitar Tasik Chini telah dipulihara.

Di laman Facebooknya, Kuasa menyiarkan gambar satelit, yang diambil pada 30 Mei dan 4 Jun tahun ini, menunjukkan kawasan di selatan tasik itu masih terjejas.

"Ada pihak mendakwa kawasan ini telah dipulihara dan ditanam semula, dan gambar yang tular sebelum ini (gambar di atas) adalah gambar lama.

"Tetapi gambar terkini menunjukkan sebaliknya. Secara jelas terdapat kawasan perlombongan di bahagian selatan tasik," menurut Kuasa.

NGO itu berkata walaupun kawasan seluas 4,900 hektar di Tasik Chini diwartakan sebagai hutan simpan kekal pada 2019, ia tidak meliputi keseluruhan tasik, terutama di bahagian utara, selatan dan barat.

"Kerajaan Pahang harus serius memulihara semula kawasan rizab biosfera Unesco ini dengan menghentikan projek-projek tidak mampan yang sedia ada dan mewartakan keseluruhan kawasan sekeliling/rizab tasik sebagai kawasan perlindungan, terutamanya sebagai kawasan Hutan Simpanan Kekal - Hutan Taman Negeri," katanya.

Semakan Malaysiakini melalui sumber satelit yang berbeza mendapati kawasan di sebelah selatan tasik hampir tiada tumbuhan. Ini meliputi kawasan tebing selatan tasik hingga ke penempatan Felda Tasik Chini, sekitar lima kilometer dari situ.

Imej daripada Planet Labs Inc yang berpangkalan di Amerika Syarikat diambil sepanjang Mei tahun ini dan dipadankan bagi meminimumkan halangan awan. apabila dibandingkan dengan gambar yang diambil dua tahun lalu, iaitu pada Jun 2019, tampak seperti kurang penambahbaikan di kawasan itu.

Bagaimanapun, ada sedikit tanda-tanda pokok yang tumbuh semula di kawasan yang telah dinyah hutan di sekitar tasik, terutama di kawasan utara tasik di mana pembalakan dijalankan sebelum ini.

Kualiti air di Tasik Chini

Tuan Ibrahim juga mengulangi penjelasan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang berhubung kemungkinan adanya logam di Tasik Chini seperti yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

"JAS sentiasa komited dalam menjalankan pemantauan kualiti air Tasik Chini secara berterusan sejak tahun 2005.

"Terdapat sebanyak 15 stesen pemantauan kualiti air di lokasi yang berbeza dengan kekerapan pemantauan sekali setiap bulan bagi setiap stesen," katanya.

Katanya, sebanyak 20 parameter diambil kira (analisis) dalam pemantauan yang dijalankan pada setiap stesen.

Ia merangkumi Pepejal Terampai (SS), Keperluan Oksigen Biologi (BOD), Klorida, Fosfat, Sulfat, Fluorida, Keperluan Oksigen Kimia (COD), Nitrat Nitrogen, Ammoniakal Nitrogen (AN), Minyak dan Gris serta E.coli dan 9 parameter logam berat merangkumi Besi, Mangan, Tembaga, Nikel, Plumbum, Zink, Kadmium, Arsenik dan Raksa.

"Pelaporan dibuat berdasarkan parameter-parameter utama iaitu data kualiti air bagi tahun 2016 sehingga 2021 (sehingga Mac) berdasarkan parameter BOD, SS dan AN menunjukkan kualiti air Tasik Chini dalam kategori bersih," kata Tuan Ibrahim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS