Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KATA MP | Jawatankuasa siasatan tiada kuasa tentukan kesalahan

KATA MP | “Tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti terhadap mana-mana pihak” bukan bermaksud tiada yang bersalah.

Ungkapan ini telah menarik perhatian ramai dan saya ingin menjelaskannya secara terperinci.

Perlu ditegaskan, saya dan Jawatankuasa Siasatan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) yang menyiasat mengenai insiden perlanggaran LRT pada 24 Mei 2021 tidak pernah menyatakan bahawa tiada pihak yang boleh dipersalahkan kerana menyebabkan kejadian tersebut berlaku. Tiada apa yang hendak ‘disembunyikan’ seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Jawatankuasa siasatan ini adalah jawatankuasa yang ditugaskan untuk menjalankan siasatan, bukannya badan kehakiman. Oleh itu, jawatankuasa ini tiada kuasa untuk menentukan kesalahan ke atas mana-mana pihak.

Sebarang tindakan dalaman/pentadbiran yang hendak diambil terhadap kakitangan yang terlibat dalam insiden ini hendaklah berlandaskan kepada terma dan syarat yang telah diperuntukkan di dalam kontrak kerja yang ditandatangani oleh mereka masing-masing dengan pihak Prasarana.

Dalam menentukan suatu dapatan salah dan tanggungan, proses perundangan sewajarnya perlulah dilaksanakan demi memastikan bahawa prinsip keadilan sejagat turut diberikan kepada mereka yang bertanggungjawab terhadap kejadian pelanggaran LRT ini.

Jawatankuasa siasatan bukannya ditubuhkan untuk menjatuhkan hukuman dan MOT juga tiada kuasa untuk menghakimi apa jua kes.

Ketika saya mengarahkan pembentukan Jawatankuasa Siasatan untuk memeriksa secara terperinci perlanggaran LRT ini, segala rujukan dapatan jawatankuasa itu juga haruslah dijelaskan dalam mencapai misinya.

Kami ingin mengelakkan perkara seperti ini berulang pada masa akan datang.

Peranan jawatankuasa ini adalah untuk menentukan faktor-faktor dan sebab-sebab yang menyebabkan berlakunya kejadian berkenaan. Ini adalah fungsi utama penubuhan jawatankuasa siasatan untuk dilaksanakan dan menyelesaikannya dalam tempoh yang ditentukan. 

Ia dilakukan berdasarkan fakta dan analisa data yang diperoleh dan / atau diberikan kepada Jawatankuasa secara profesional. Keutamaan kami adalah untuk memastikan kejadian sama tidak berulang.

Saya juga secara peribadi telah mengunjungi dan menghubungi mangsa-mangsa yang cedera. Kami memandang serius terhadap apa yang menimpa mereka.

Seperti yang telah saya maklumkan dalam sidang media pada 10 Jun, sebanyak 23 cadangan dibentang dan diterima oleh Kabinet adalah untuk membawa perubahan menyeluruh berhubung prosedur keselamatan dan operasi Rapid Rail Sdn Bhd serta Prasarana Malaysia Berhad dan akan dilaksanakan dalam jangka masa yang dikemukakan.


WEE KA SIONG merupakan menteri pengangkutan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS