Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: Tak perlu tubuh Mageran, Parlimen kena kembali bersidang

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Mohd Redzuan Md Yusof berpandangan Majlis Gerakan Negara (Mageran) tidak perlu ditubuhkan untuk mentadbir negara pada masa ini.

Redzuan juga menegaskan pentingnya untuk Parlimen bersidang semula secepat mungkin.

Baginya, kerajaan setakat ini menguruskan negara dengan baik, di tengah-tengah wabak Covid-19.

"Kenapa perdana menteri perlu usulkan Mageran? Kita laksana tugas dengan agak baik walau dengan cabaran yang tak pernah berlaku sebelum ini.

"Kita bersikap dinamik dan sentiasa ingin menyesuaikan diri dengan keutamaan yang berubah-ubah. Tiada satu penyelesaian dan prosedur operasi standard (SOP) yang tetap dalam keadaan semasa," katanya menerusi pesanan teks kepada Malaysiakini hari ini.

Redzuan mengulas cadangan yang diutarakan Dr Mahathir Mohamad ketika mengadap Yang di-Pertuan Agong pada Khamis lalu.

Bekas perdana menteri itu mencadangkan penubuhan kerajaan ala Mageran pada tahun 1969.

Redzuan berkata cadangan itu sepatutnya hanya datang daripada kerajaan dan pihak istana tidak boleh melaksanakan langkah itu berdasarkan nasihat pihak lain.

"Jika ada pihak lain mahu menggunakan istana untuk penubuhan Mageran, dan istana menitahkan untuk melaksanakan usul (yang dibawa) oleh pihak bukan kerajaan, bagi saya Perlembagaan telah dijejaskan.

"Asasnya adalah Yang di-Pertuan Agung hanya boleh isytiharkan (Mageran) atas nasihat perdana menteri.

"Maka penting untuk Dewan Rakyat dibenarkan bersidang dan kerajaan seboleh mungkin untuk mengadakan himpunan wakil rakyat secepat mungkin. Apa pun, ini kena diambil kira dengan risiko penularan Covid-19 yang tinggi pada masa ini," katanya lagi.

Berbanding Mageran, dia berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah memadai dalam menguruskan negara di tengah-tengah wabak pada masa ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS