Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad memperincikan cadangan penubuhan badan pentadbir negara ala Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang dibangkitkannya baru-baru ini.
Mahathir menggelar badan itu sebagai Majlis Pemulihan Negara, dan menambah bahawa ia bukanlah untuk menggantikan kerajaan.
Katanya, tugas majlis berkenaan adalah untuk mengurangkan kes Covid-19 sehingga mencapai imuniti kelompok, menyelesaikan masalah persekolahan, dan memulihkan ekonomi negara.
Katanya badan itu akan dipantau Parlimen, namun usaha untuk menghapuskannya tidak akan diusahakan oleh Parlimen.
“Yang menjadi masalah politik ialah percubaan merampas kuasa. Malangnya jika kerajaan ditukar, kerajaan baru juga akan menjadi lemah kerana majoriti yang tipis.
“Tindakan politik hanya akan meneruskan masalah,” kata Mahathir di blognya hari ini.
Kata Mahathir, badan yang dicadangkannya itu hanya akan mengangani isu yang dia ketengahkan, sementara urusan-urusan lain pula akan ditangani oleh kerajaan seperti biasa.
Katanya, majlis itu tidak terletak di bawah kerajaan tetapi akan melaporkan secara langsung kepada Yang di-Pertuan Agong. Majlis itu tambahnya, akan terbubar apabila imuniti kelompok dapat dicapai, atau sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-15 diadakan.
Majlis itu, katanya lagi, akan dianggotai oleh tidak lebih 20 anggota - terdiri daripada pakar pelbagai bidang seperti perubatan, ekonomi, pelaburan, perundangan yang berpengalaman dan tidak partisan, serta beberapa tokoh politik yang tidak bertindak mewakili parti.
“Nama-nama mereka akan disembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenannya. Ahli-ahli majlis akan berkhidmat secara sukarela, tanpa gaji kecuali diberi elaun yang perlu. Mereka perlu menganggap perlantikan mereka sebagai satu khidmat negara.
“Jika Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja menerima cadangan penubuhan Majlis Pemulihan Negara ini, nama-nama mereka akan dipersembahkan untuk perkenan,” katanya lagi.
Khamis lalu, Mahathir mendedahkan yang dia mencadangkan penubuhan kerajaan ala Mageran pada tahun 1969 semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong. Dia turut menawarkan perkhidmatannya kepada majlis itu, sekiranya ia menjadi kenyataan.
Bagaimanapun, katanya juga, Agong bertitah bahawa cadangan sedemikian haruslah datang daripada pihak kerajaan.
Agong memanggil pemimpin-pemimpin parti politik untuk menghadap dalam siri pertemuan yang berlangsung dari Rabu hingga Jumaat.
Baginda dijangka bertemu lebih ramai pemimpin politik Isnin depan.
Pada Rabu pula, Agong akan mempengerusikan satu sesi perbincangan khas dengan raja-raja Melayu.
Setakat ini, Pakatan Harapan (PH) menolak cadangan Mahathir manakala Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pula memberikan bayangan bahawa majlis seumpama itu tidak perlu untuk ditubuhkan.