Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
838 kes Covid-19 dikesan di kilang sarung tangan WRP Asia Pacific

Ujian besar-besaran melibatkan 2,838 pekerja di kilang pembuat sarung tangan WRP Asia Pacific Sdn Bhd di Sepang hujung minggu lalu mengesan 838 kes Covid-19 positif.

Dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini, WRP Asia mengatakan dua pekerja pada awalnya positif, diikuti 13 pekerja lain pada hari Jumaat, 4 Jun yang lalu.

"Pekerja tersebut tidak bergejala. Kami segera memulakan proses ujian untuk semua kontak rapat," kata syarikat itu.

"Pada hujung minggu, lebih banyak kes ditemui. Kami membuat keputusan untuk melakukan penutupan di seluruh kilang dari hari Isnin, 7 Jun dan seterusnya, agar kami dapat melakukan ujian besar-besaran di seluruh kilang.

"Berdasarkan ujian itu, kami mendapati bahawa 838 dari 2,838 pekerja kami diuji positif. Sekali lagi, kebanyakan kes tidak bergejala," katanya.

Sehingga hari ini, WRP Asia mengatakan operasinya masih belum disambung, sementara langkah-langkah telah diambil untuk kuarantin semua pekerja yang dijangkiti dan mengasingkan kontak rapat mereka.

Syarikat itu menambah bahawa pekerja yang telah diuji negatif sedang dalam proses pindah ke kemudahan pihak ketiga yang diluluskan seperti yang ditetapkan.

"Untuk pekerja warga asing kami di lokasi, kami terus mengamalkan SOP, dan menawarkan makanan dan subsidi makanan.

"Pengurusan kami terlibat dengan pengawal selia, dan kami sangat berterima kasih kerana kementerian kesihatan akan menghantar doktor mereka ke kemudahan kami untuk memantau perkembangan pekerja kami yang dijangkiti secara berkala," katanya.

WRP Asia menjawab pertanyaan Malaysiakini berdasarkan sumber maklumat mengenai wabak Covid-19 di premisnya.

Namun, kenyuataan syarikat itu tidak menyentuh mengenai dakwaan kurangnya jarak sosial di tempat kerja, seperti yang dilihat dalam video berdurasi 21 saat yang dirakam oleh seorang pekerja.

Sebelum permulaan penutupan kilang itu, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengatakan 115 kluster tempat kerja dengan 5,392 kes direkodkan antara 12 dan 26 Mei, di mana separuh daripada kluster tersebut melibatkan kilang-kilang.

Kerajaan hari ini mengumumkan bahawa perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 yang dilanjutkan hingga 28 Jun, di tengah kritikan bahawa sebahagian besar kes disumbangkan oleh pengeluar yang diiktiraf sebagai perkhidmatan penting dan diberi izin untuk beroperasi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS