Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri ingatkan majikan tak paksa pekerja bayar vaksin

Menteri Sumber Manusia M Saravanan dilapor memberi peringatan kepada majikan agar tidak memaksa pekerja mereka membayar vaksin Covid-19 yang disediakan secara percuma oleh kerajaan.

"Saya tidak melihat alasan untuk ini," kata Saravanan seperti dilapor Free Malaysia Today.

Saravanan mengatakan perkara ini dengan merujuk kepada cadangan Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK) agar anggotanya menubuhkan pusat vaksinasi di lokasi masing-masing untuk pekerja barisan hadapan perniagaan mereka, dengan biaya subsidi RM50 setiap peserta.

"Saya ingin mengingatkan semua orang agar tidak memaksa pekerja membayar vaksin kerana kerajaan memberikannya percuma kepada semua orang," kata Saravanan.

Menurut laporan itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) juga membidas kenyataan persatuan itu, dengan menekankan bahawa semua kos yang berkaitan harus ditanggung oleh majikan.

Timbalan Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani mengatakan bahawa tidak adil untuk membuat pekerja membayar vaksin mereka.

Dia menggesa pekerja untuk membuat aduan rasmi sekiranya dipaksa membayar vaksin mereka.

Ketika dihubungi untuk memberi respons terhadap kenyataan Saravanan, seorang perwakilan PPK memetik dua kenyataan yang lalu mengenai pelaksanaan vaksinasi, yang dicadangkan untuk menyokong program vaksinasi barisan hadapan ekonomi yang sedang berjalan di bawah kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, yang mensasarkan 500,000 pekerja runcit.

"Ini adalah program pilihan, tidak wajib bagi pekerja," kata wakil itu kepada Malaysiakini.

Sebelum ini dilaporkan bahawa tidak seperti Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) ketika ini, yang diberikan secara percuma, setiap pekerja runcit dan kakitangan yang memilih vaksinasi di pusat beli-belah akan dikenakan bayaran nominal RM50 untuk dua dos yang diperlukan dari Pfizer-BioNTech atau vaksin Sinovac.

PPK juga menjelaskan anggaran kos penyediaan tempat, logistik, tenaga kerja, dan perkhidmatan ambulans siap sedia untuk pusat vaksinasi di lokasi akan berjumlah RM100 hingga RM150 setiap orang, tetapi peserta akan dikenakan tarif subsidi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS