mk-logo
Berita
Penganggur didenda menyamar pegawai SPRM tipu bekas setpol
Diterbitkan:  Jun 11, 2021 5:41 PM
Dikemaskini: 9:41 AM

Padah menipu seorang bekas setiausaha politik dengan menyamar sebagai pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), seorang penganggur didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini.

Hakim Izralizam Sanusi turut memerintahkan Md Nizam Md Yacob, 36, dipenjara tiga tahun jika dia gagal membayar denda tersebut. Tertuduh membayar denda itu.

Izralizam turut memberi amaran kepada Md Nizam supaya tidak mengulangi kesilapan sama dengan berkata: “Sekiranya berlaku sekali lagi, saya tidak teragak-agak bagi hukuman berat ke atas kamu.”

Md Nizam mengaku bersalah atas dakwaan menipu lelaki berusia 48 tahun itu dengan menyamar sebagai pegawai penyiasat SPRM dari Putrajaya sehingga mendorong mangsa mempercayai bahawa tertuduh dapat menyelesaikan kes mangsa yang akan dituduh oleh SPRM.

Perbuatan itu telah menyebabkan bekas setiausaha politik itu menyerahkan wang berjumlah RM50,000 kepada tertuduh untuk menyelesaikan tuduhan dengan pihak SPRM, yang mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan.

Md Nizam didakwa melakukan kesalahan itu di Joki Kereta sebuah hotel di Jalan Putra, Chow Kit di sini pada 11.26 pagi, 9 Nov 2018 mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Ketika rayuan, Md Nizam yang tidak diwakili peguam memohon hukuman berbentuk denda minimum diberikan kepadanya dengan alasan dia tidak bekerja dan menanggung keluarga selain menyesal serta berjanji tidak akan melakukan kesalahan sama.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon mahkamah mengenakan hukuman denda antara RM30,000 dan RM40,000 kepada tertuduh mengambil kira faktor kepentingan awam serta pengakuan salah tertuduh pada kali pertama pertuduhan dibacakan.

Mengikut fakta kes, pada 1 Nov 2018, tertuduh telah menghubungi mangsa dan memperkenalkan dirinya sebagai pegawai penyiasat SPRM yang bertanggungjawab menyiasat kes terhadap mangsa.

Dalam perbualan itu juga, tertuduh turut memaklumkan bahawa mangsa mempunyai 76 pertuduhan kes rasuah bagi kesalahan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.

Pada 8 Nov 2018, tertuduh telah berjumpa dengan mangsa di sebuah restoran di Damansara dan dalam pertemuan itu tertuduh meminta mangsa membayar RM2 juta bagi menyelesaikan kes dan menetapkan syarat, mangsa perlu membayar wang pendahuluan sebanyak RM500,000 pada malam itu.

Namun, mangsa merayu untuk dua kali pembayaran dibuat yang RM200,000 dibayar pada malam itu dan RM300,000 dibayar keesokan hari. Pada 9 Nov 2018, jam 11 pagi, mangsa kemudiannya menyerahkan RM50,000 kepada tertuduh.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS