Kertas siasatan kes Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung dakwaan beliau memandu uji kereta di sebuah pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru, di Bukit Mertajam baru-baru ini dirujuk Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah SPT ACP Shafee Abd Samad berkata, kertas siasatan kes itu dirujuk kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman untuk diteliti sebelum tindakan seterusnya dibuat.
“Kertas siasatan kes itu telah siap dan ia dirujuk kepada USJT Bukit Aman untuk diperhalusi dan diteliti, selepas semuanya selesai, kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat pendakwaan bagi tindakan lanjut.
“Setakat ini seramai 10 orang telah direkodkan keterangan bagi membantu siasatan termasuk Menteri Besar Kedah, penjual kereta dan pemilik pusat jualan kereta serta pengadu dan suaminya, polis juga telah mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya siasatan kes itu dijalankan menurut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
Komuniti media sosial kecoh susulan penularan gambar dan video memaparkan individu dipercayai Muhammad Sanusi, memandu uji sebuah kereta pada Sabtu lepas, sedangkan negara kini berada di bawah sekatan pergerakan penuh yang mana pusat jualan dan pameran kenderaan tidak dibenarkan beroperasi.
Sementara itu, dalam perkembangan lain di Tasek Gelugor, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, polis menahan seorang pemilik kilang proses ayam berusia 40 tahun bagi membantu siasatan, berhubung kejadian membakar motosikal milik seorang pekerjanya di kilangnya di Tasek Gelugor, semalam.
Katanya lelaki itu ditahan pukul 1 petang semalam, selepas polis menerima laporan dari pekerjanya berusia 35 tahun pada jam 9.30 pagi hari sama, yang mendapati motosikalnya yang diletakkan di tempat kerjanya telah terbakar pada 6 petang, Selasa.
“Lelaki itu mendapati motosikalnya terbakar sehingga tinggal kerangka sahaja. Dia mengesyaki ia perbuatan majikannya, kerana sehari sebelum kejadian berlaku perselisihan faham antara mereka berdua,” katanya.
Katanya susulan penahanan lelaki itu, polis merampas beberapa barangan antaranya sebuah telefon bimbit, cebisan kain yang terdapat kesan terbakar, satu pemetik api dan sekeping nombor plat motosikal yang terbakar dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat.
- Bernama