PH menolak candangan penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran), seperti pada 1969, yang dibawa bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
PH sebaliknya sekali lagi menggesa penguatkuasaan darurat ditamatkan dan Parlimen kembali bersidang.
"Sebagai parti yang menjunjung prinsip demokrasi berparlimen, PH menolak cadangan Mageran ini berdasarkan pendirian konsisten kami bahawa darurat perlu ditamatkan segera dan Parlimen perlu dibuka semula sekarang.
"Penyelesaian kepada masalah rakyat dalam isu Covid-19, ekonomi, malah juga politik memerlukan demokrasi yang berfungsi dengan baik, dan ruang terbaik untuk mendengar suara rakyat serta mencari penyelesaian ialah di Parlimen," kata Majlis Presiden PH dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu ditandatangani Presiden PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Pengerusi Amanah Mohamad Sabu.
Semalam, Mahathir memaklumkan dia membangkitkan cadangan itu ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
“Agong tidak kata tidak, tetapi titah baginda, cadangan pembentukan Mageran harus datang daripada pihak kerajaan. Tetapi saya ragu kerajaan akan cadangkan perkara ini," katanya lagi.
Sehari sebelumnya, setiausaha sulit kanan Muhyiddin, Marzuki Mohamad dalam satu video membantah cadangan penubuhan majlis itu.
Pemimpin Umno dan DAP juga menyuarakan bantahan yang sama.
Pihak dalam PKR juga tahu berkenaan cadangan itu sebelum ia terdedah kepada umum.
Semalam, Mahathir juga mengesahkan Anwar ada menghubunginya pada akhir Mei lalu tetapi tidak menyebut sama ada Mageran dibincangkan atau tidak.
Katanya, susulan perbincangan itu, dia mencadangkan kedua-duanya menulis surat kepada Agong, yang dipercayainya membawa ke arah pertemuan baginda dengan pemimpin-pemimpin politik yang bermula sejak semalam.