Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR dakwa ada gerakan kumpul SD ahli parlimen sedang berjalan
Diterbitkan:  Jun 10, 2021 9:35 PM
Dikemaskini: 2:36 PM

PKR mendakwa ada gerakan pihak tertentu sedang cuba mendapatkan perakuan berkanun (SD) daripada ahli-ahli parlimen untuk mendapat jawatan dalam kerajaan pusat.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata pihaknya dimaklumkan gerakan itu dilakukan beberapa ahli parlimen yang tidak memegang jawatan pemimpin utama parti mereka.

"PKR turut difahamkan bahawa ahli-ahli parlimen terbabit berbuat demikian dengan mendakwa kononnya mereka telah mendapat ‘restu’ Yang Di-Pertuan Agong," katanya dalam kenyataan malam ini.

Kenyataan itu muncul ketika Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam proses berkenan menerima menghadap pemimpin utama parti dalam negara.

Setakat ini Agong sudah menerima menghadap beberapa daripada mereka termasuk Presiden PKR merangkap pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal dan bekas perdana menteri yang juga Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air Dr Mahathir Mohamad.

Beberapa pemimpin lain dijangka akan menghadap Agong esok dan minggu depan.

Isu cadangan penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) sebagai cara menghadapi situasi semasa politik negara juga menjadi polemik pada hari ini.

Tak layan khabar angin

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan prinsip raja berperlembagaan, kata Fahmi, PKR percaya bahawa dakwaan ‘restu’ itu adalah tidak benar sama sekali.

Malah katanya ia merupakan percubaan jelik untuk mendapatkan habuan bagi kelompok tertentu pada ketika negara berada di dalam krisis.

Kata ahli parlimen Lembah Pantai itu lagi tindakan tersebut adalah langkah terdesak ahli parlimen terbabit dan mereka wajar ditolak oleh rakyat.

Katanya tumpuan sekarang sepatutnya ditumpukan kepada usaha memulihkan ekonomi dan membela rakyat yang cukup terkesan akibat pandemik Covid-19.

"PKR mengambil pendirian nama Agong tidak patut digunakan sebagai helah untuk meraih sokongan ahli-ahli Parlimen, apatah lagi apabila sokongan itu tidak menyelesaikan persoalan besar tentang hala tuju kepimpinan negara kita pada ketika ini," katanya.

Untuk rekod pada hari ini The Vibes mendakwa ada cubaan mendapatkan sokongan ahli parlimen Umno memberikan sokongan kepada Menteri Luar Hishammuddin Hussein untuk dijadikan calon timbalan perdana menteri.

Memetik sumber yang tidak dinamakan portal itu juga mendakwa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan berundur daripada jawatannya beberapa bulan akan datang untuk memberi laluan kepada bekas naib presiden Umno berkenaan.

Bagaimanapun Hishammuddin menganggap laporan tersebut sekadar khabar angin.

"Seperti yang dinyatakan laporan tersebut, ini adalah khabar angin dan saya tidak melayan khabar angin," ciapnya di Twitter.

Tambah Hishammuddin lagi semua pihak sepatutnya memberikan tumpuan kepada isu Covid-19 dan mengukuhkan ekonomi negara.

Di sebalik kedudukannya dalam Umno sebelum PRU ke-14 lalu, Hishammuddin hanya diberikan jawatan menteri luar dalam kerajaan Perikatan Nasional.

Dari segi hierarki politik, portfolio itu bukanlan kedudukan yang kanan berbanding beberapa kementerian lain.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS