mk-logo
Berita
Kualiti air Tasik Chini bersih - JAS Pahang
Diterbitkan:  Jun 10, 2021 5:36 PM
Dikemaskini: Jun 14, 2021 5:07 AM

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang berkata kualiti air Tasik Chini diklasifikasikan sebagai bersih, berikutan dakwaan tasik itu tercemar.

Pembacaan purata parameter yang diukur untuk kualiti air Tasik Chini antara 2020 dan Mac 2021 menunjukkan bahawa ia masih tergolong dalam kategori 'bersih', katanya pada satu kenyataan di Facebook hari ini.

Parameter utama yang diukur adalah kepekatan permintaan oksigen biokimia (BOD), padatan bahan terampai (SS), nitrogen berammonia (AN) dan besi (Fe).

Bacaan untuk parameter tersebut termasuk dalam Kelas I atau Kelas II Piawaian Kualiti Air Kebangsaan.

JAS berkata data diambil dari 15 stesen pemantauan kualiti air di Tasik Chini, yang menguji kualiti air di tasik itu pada setiap bulan.

Oleh itu, jabatan tersebut memberi jaminan kepada masyarakat bahawa kualiti air di tasik itu selamat untuk semua hidupan, terutama hidupan liar di tasik.

JAS berkata dengan kerjasama Kolej Matrikulasi Pahang, pihaknya telah mengeluarkan Profil Kualiti Air Tasik Chini 2016-2020 pada Oktober lalu.

Profil ini akan dibuka untuk tatapan umum di pejabat JAS Pahang, katanya.

Minggu lalu, Malaysiakini melaporkan kerajaan Pahang telah memberikan persetujuan kepada sebuah syarikat berkait kerabat untuk menjalankan operasi perlombongan yang berjarak 3km dari tasik itu, sehingga menimbulkan kritikan kumpulan alam sekitar.

Laporan itu menimbulkan spekulasi kualiti air di Tasik Chini yang membimbangkan kerana aktiviti penebangan hutan dan perlomobongan di sekitar tasik.

Tasik Chini dan hutan sekitarnya diiktiraf sebagai tapak rizab biosfera Unesco pada 2009 dan diwartakan sebagai hutan simpan kekal oleh kerajaan Pahang pada 2019.

Pada satu kenyataan berasingan hari ini, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh menggesa JAS Pahang mendedahkan bacaan kualiti air di Tasik Chini sebagai bacaan ‘baseline’ sebelum perlombongan manganese bermula.

"JAS dituntut megeluarkan data kualiti air di kesemua 15 stesen pemantauan tersebut sebagai bacaan 'baseline' dan kemudian seterusnya mempamerkan kepada awam data bacaan kualiti air pada setiap bulan dari kesemua 15 stesen tersebut supaya rakyat boleh bersama-sama memantau impak dari perlombongan manganese yang baru diluluskan tersebut serta juga pencemaran dari lombong-lombong yang lain di sekitar.

"Komitmen ini dituntut dari negeri Pahang sekiranya mahu membuktikan bahawa kerajaan negeri komited di dalam usaha menjamin kelestarian alam semulajadi serta pemuliharaan kawasan rizab biosfera Unesco seperti yang dijanjikan," kata Fuziah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS