Pemimpin PAS, Ahmad Dusuki Abdul Rani tampil mempertahankan kenyataan penceramah motivasi, Dr Muhaya Muhamad berhubung kenyataan perempuan perlu jadi "bodoh-bodoh".
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata, dia telah mendapatkan penjelasan Muhaya yang memaklumkan dia tidak pernah meminta golongan wanita di negara ini perlu menjadi bodoh.
Sebaliknya kata Ahmad Dusuki "jadi bodoh-bodoh" yang dimaksudkan penceramah motivasi itu ialah tidak meninggikan diri ataupun berlagak.
"Bila disebut bodoh-bodoh bukan bermaksud membodohkan diri, ini tidak (bodohkan diri). Tetapi maksudnya untuk menundukkan diri kita ataupun menjadikan diri kita tawaduk.
"Bila tawaduk menyebabkan diangkat darjat di sisi Allah SWT yang membuatkan orang perempuan mudah mendapat jodoh.
"Jadi kita tak payahlahh besarkan kalimah yang disebut itu," katanya dalam satu rakaman video yang disiarkan di Facebooknya, hari ini.
Terdahulu, Muhaya yang dikenali sebagai pakar motivasi terkenal itu menerima pelbagai reaksi - termasuk negatif - selepas berkongsi satu video berjudul Kenapa Wanita Lambat Dapat Jodoh.
Melalui video berdurasi 56 saat itu, Muhaya berpendapat, wanita tidak perlu terlalu berusaha untuk menyaingi kaum lelaki.
Dia sebaliknya berkata, lelaki akan menyukai seseorang wanita jika dia memiliki perwatakan lemah lembut serta bergantung harap pada bantuan pasangannya.
“So orang perempuan, walau macam mana you all, please, mesti kita celebrate apa yang Allah beri tentang kepimpinan lelaki. Imam pun lelaki. Nabi-nabi pun lelaki.
“Jangan sibuk nak liberate nak berdiri sama-sama lelaki, no. Nanti kamu sibuk nak buat apa yang lelaki nak buat testosteron meningkat dan bagi siapa belum kahwin, lambatlah jodoh,” katanya melalui video tersebut.
Dalam pada itu, Ahmad Dusuki yang juga pendakwah bebas berkata, orang perempuan perlu tawaduk jika tidak mahu lambat jodoh.
"Bila kita ni orang perempuan meninggikan diri ataupun dia berlagak, ia menyebabkan akhirnya ianya terjauh daripada orang yang nak dekat dengannya, itu asalnya," katanya.