Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengamal media Kelantan terima dos pertama vaksin Covid-19

Pengamal media yang menjadi ahli Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 membabitkan lebih 60 individu mulai semalam.

Presiden Kemudi Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi berkata seramai 42 ahli kelab itu dari pelbagai agensi berita menerima suntukan dos pertama masing-masing mengikut giliran sehingga hari ini.

Katanya mereka disuntik di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu.

Menurutnya, Kemudi berterima kasih kepada kerajaan negeri, Jabatan Kesihatan Kelantan, Kementerian Kesihatan Malaysia, serta Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi atas program suntikan vaksin kepada media.

"Penantian warga media di Kelantan akhirnya tertunai selepas kami menerima suntikan vaksin dos pertama yang dianggap penting dalam usaha mengekang penularan penyakit Covid-19 yang membimbangkan.

"Dengan ini warga media akan lebih bersemangat dan yakin untuk menjalankan tugas di lapangan yang pada masa sama menuntut kami bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat bagi mendapatkan bahan berita," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sebagai rekod program vaksinasi membabitkan pengamal media bermula sejak awal bulan ini didahului dengan 16 petugas media dari RTM Kelantan serta beberapa kakitangan agensi lain.

Shahnun Hanif berkata, Kemudi berharap semua warga media terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal serta sentiasa memakai cecair pembasmi kuman.

Sementara itu jurugambar New Straits Times Press (NSTP) Nik Abdullah Nik Omar, 45, bekata dia bersyukur apabila pengamal media dapat menerima suntikan vaksin yang sudah lama dinantikan.

"Kita sedia maklum sebagai wartawan yang perlu ke lokasi bagi mendapatkan bahan berita, kami sangat terdedah dengan risiko jangkitan Covid-19 kerana tuntutan tugas yang memerlukan kami sentiasa berada di lapangan.

"Walaupun vaksin bukan jaminan kami terhindar daripada dijangkiti Covid-19, sekurang-kurangnya mengurangkan risiko jangkitan," katanya.

Wakil TV Hijrah di Kelantan, Chia Lin, 45, berkata sebagai pengamal media dia dan rakan-rakan sentiasa turun ke lapangan sekali gus terdedah kepada risiko tinggi jangkitan Covid-19.

"Melalui suntikan yang diterima ini, sekali gus dapat meningkatkan ketahanan badan bagi mengurangkan risiko jangkitan di samping menjayakan program imunisasi kebangsaan," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS